Friday 26 August 2011

Misi Kemuncak Sukan SEA XXVI


KUALA LUMPUR - Daripada 17 pemain sejak April lalu, kini cuma tinggal 15 orang di kem latihan pusat yang akan meneruskan persediaan skuad elit sepak takraw menghadapi misi kemuncak tahun ini, Sukan SEA XXVI di Indonesia pada November.

Pelibas, Saiful Nizam Mohd. dan pengumpan, Syazreen Qamar Salehan terpaksa diketepikan lebih awal kerana pembedahan lutut dan masalah peribadi namun Jamaluddin Hassan pantas mencalonkan seorang muka baru gantian.

Nama Mohd. Muqlis Borhan yang sering mewakili PKNS dalam banyak kejohanan terbuka tempatan, meniti di bibir ketua jurulatih negara itu untuk diserapkan ke skuad elit yang sudah beralih pangkalan latihan ke Pulau Pinang sejak Ahad lalu.

Apit kiri bertubuh kecil itu pernah dipanggil ke kem latihan skuad elit dalam fasa awal persediaan ke Sukan Asia Guangzhou tahun lalu tetapi terpaksa menarik diri beberapa minggu kemudian kerana komitmen pekerjaan di sebuah hospital.

"Dia telah dihubungi untuk disenaraikan ke kem latihan dan sudah menyatakan persetujuan tetapi perlu menyelesaikan urusan pelepasan dengan majikan terlebih dulu," kata Jamaluddin kepada Utusan Malaysia.

Kemasukan Mohd. Muqlis juga dianggap tepat memandangkan pengalaman gandingannya dengan Noor Azman Hamid dalam pertandingan tempatan apatah lagi prestasi tekong utama itu agak hambar dalam Piala Dunia, baru-baru ini.
"Setakat ini calon pelibas baru bagi menggantikan Saiful Nizam belum ada dalam perancangan lagi," kata Jamaluddin yang turut menyediakan skuad elit menghadapi Siri Super I (Thailand) dan Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-26 di Bangkok dari 8 hingga 17 September ini.

Selain tuan rumah selaku juara Piala Dunia dan naib juara, Malaysia, Siri Super (lelaki) menampilkan 10 lagi regu dari Myanmar, Singapura, Korea Selatan, Indonesia, India, Filipina, Brunei, Laos, Amerika Syarikat dan Jepun.

No comments:

Post a Comment