Saturday, 27 August 2011

Kita ketandusan ilham, bakat

Sebagai tuan rumah Sepaktakraw Piala Dunia yang berjaya menarik lebih 2,000 penonton ke Stadium Titiwangsa kelmarin, kita berhak dipuji tetapi selaku peserta, ia ibarat 'jauh panggang dari api'.

Tiada siapa yang mahu dianggap tidak patriotik apabila mengkritik pencapaian skuad bimbingan Jamaluddin Hassan tetapi hakikatnya Thailand masih dalam kelas tersendiri sedangkan kita terus tertinggal dan kian dirapati Myanmar, Korea Selatan, Indonesia mahupun Laos.

Kesudahannya tetap sama seperti pada Sukan SEA 2009 dan Sukan Asia 2010 yang menyaksikan kita terus menjadi No. 2.
Malaysia tewas 0-3 (4-15, 6-15, 11-15) dalam perlawanan akhir berat sebelah dengan kebanyakannya kerana kelemahan sendiri sedangkan barisan pemain yang diturunkan kelmarin berpengalaman luas dalam Sukan SEA, Asia mahupun Piala Raja Thai dan Kejohanan Dunia Piala Malaysia.
Kecuali pelibas simpanan yang juga ketua pasukan, Mohd. Helmi Ismail, Noor Azman Abdul Hamid, Syazwan Husin, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam bukan orang yang baru di pentas antarabangsa, apatah lagi mereka berlatih di Bukit Jalil sepenuh masa.
Melihat Thailand 'membuli' kita dengan servis tajam tekong dan jarang terbuang, libasan deras dengan lonjakan melangit apit kanan mahupun kawalan ketat apit kiri, cukup menghiris hati 2,000 penyokong yang hadir menyambut seruan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) demi memartabatkan sukan tradisi ini.
Peminat tertanya-tanya di manakah identiti dan kekuatan sejati regu negara dalam menandingi kehebatan Si Gajah Putih?
Lawan menggunakan servis kuda, kita pun terikut-ikut, lawan buat servis dan rejaman laju, kita juga mahu selaju itu namun akhirnya semua itu memakan diri kita balik!
Di mana kreativiti seperti servis gaya Nordin Sabaruddin, Ahmad Ezzat Zaki? Atau tidak bolehkah rejaman dipelbagaikan kawasan serangannya supaya ia jauh dan tidak semata-mata di tengah jaring bagi mengelak dan mengelirukan lawan daripada mudah menampannya?
Servis kuda atau apa sahaja buatan Thailand memang sudah menjadi 'makanan ruji' mereka, maka tidak hairanlah terlalu mudah setiap serangan Noor Azman dan Syazwan atau libasan gulung Norshahruddin dipatahkan dengan bersahaja. Kelmarin jurulatih Thailand, Kamol Tankimhong menafikan dia memperkecilkan kemampuan Malaysia apabila menurunkan tekong dan pelibas pilihan kedua, Siriwat Sakha dan Pornchai Kaokaew terlebih dulu malah merehatkan langsung tonggaknya, Anuwat Chaichana.
Namun, bagi pemerhati sepak takraw, di hati Kamol, dia sudah mendabik dada bahawa regu Malaysia yang ditundukkan di depan penyokong sendiri tidak jauh bezanya dengan Myanmar yang ditewaskan Si Gajah Putih menerusi Siriwat, Pornchai dan Pattarapong 3-0 dalam separuh akhir terdahulu.
Kita memiliki ramai pemain berbakat dan lebih hebat tetapi tidak ramai yang sanggup berkorban dalam pelbagai aspek demi menyahut panggilan negara sedangkan pemain kebangsaan Thailand walaupun sudah mencapai usia persaraannya, belum tentu dapat dijinakkan regu kita.
Kepada PSM, Majlis Sukan Negara (MSN) segeralah bertindak! Dalam 10 atau 15 tahun lagi, kita akan terus tertinggal kerana pembayang sudah ditunjukkan oleh Thailand dalam Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN di Singapura, bulan lalu.
Mereka terus bergelar juara dan ia berpunca daripada sistem pembangunan bakat akar umbi malah lebih mengejutkan ialah Indonesia sudah mengatasi kita yang mengulangi pencapaian di Putrajaya, tahun lalu.

No comments:

Post a Comment