Saturday 27 August 2011

Kejohanan Sepak Takraw Belia Kebangsaan 2011


TERENGGANU mengekalkan kejuaraan kali kedua Kejohanan Sepak Takraw Belia Kebangsaan 2011 apabila berjaya menewaskan pasukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Negeri Kuala Terengganu, Terengganu, kelmarin.
Regu pertama Terengganu, Muhd Zuokifli Razak, Mohd Hanafiah Dolah dan Rosman Mohd Sharif menewaskan regu Masum, Mohd Yussyairil, Amyrul Syafiq dan Mohd Salehon dengan 15-11, 11-15 dan 15-12 bagi mata pertama.

Regu kedua, Muhd Shapian Ali, Mohd Saiful Asari dan Mohd Safariipin memastikan kemenangan mutlak selepas mudah menundukkan Mohamad Md Rashi, Mohd Badri Abdul Rahman dan Shamsul Hairi Saidi 15-12 dan 16-14 untuk merangkul kejuaraan kedua mereka.

Presiden Pesatuan Sepak Takraw Terengganu, Mohd Shapian Ali mengucapkan tahniah kepada pemainnya kerana beraksi cemerlang mempertahakan kejuaraan.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan Terengganu memiliki ramai pemain sepak takraw hebat dan berpeluang cerah mewakili pasukan negeri dalam masa terdekat.

Gajah Emas cuba cari bakat muda




E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAMPAI bila agaknya Malaysia akan kembali menguasai sepak takraw, sukan tradisi negara ini sekiranya bakat tersembunyi di kampung gagal dikenal pasti.
Menyedari hakikat itu, Gajah Emas Industries, pengeluar barangan sukan tempatan berkaitan sukan sepak takraw berjenama Gajahmas mahu memainkan peranan lebih besar mengenal pasti pemain berbakat di kawasan pedalaman.


“Kami satu-satunya pengeluar barangan sukan tempatan yang berjaya di pasaran dunia dan kami berasa bertanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan sepak takraw. Kini kami sedang merancang menganjurkan kejohanan di peringkat kampung, daerah dan negeri untuk tujuan itu,” kata Pengurus Gajah Emas Industries, Nor- hilman Mohd Noor.


Jenama Gajahmas sudah bertapak sejak 25 tahun lalu dan terkenal di pentas antarabangsa biarpun bola jenama itu gagal mendapat pengiktirafan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).


“Kami bukan hanya akan menganjurkan kejohanan di peringkat kampung malah membabitkan bakat muda. Demi mengekalkan populariti sukan ini juga Gajahmas merancang mengadakan kejohanan peringkat pemain veteran berusia 40 tahun ke atas."

Bertudung tidak halang melibas





KUALA LUMPUR - Memakai tudung tidak menghalang tekong sepak takraw wanita Indonesia, Cahya Permata Fahrani melakukan servis dan libasan kencang pada hari kedua Sepak Takraw Piala Dunia Pertama Kuala Lumpur 2011, semalam.
Malah, Cahya, 18, turut mengakui memakai tudung tidak membataskan wanita muslim untuk menyertai sukan berkenaan.
''Tidak ada masalah untuk wanita yang bermain sepak takraw memakai tudung terutama yang beragama Islam sebagai contoh di tempat saya di Sumatera terlalu ramai pemain wanita yang bertudung.
''Saya juga selesa melakukan apa jua aksi dalam sukan ini dengan memakai tudung dan berseluar panjang ia tidak sedikit pun mengganggu libasan, tandukan dan servis saya," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan menentang China di Stadium Titiwangsa di sini, semalam.
Tambah Cahya yang masih menuntut di Universiti Sri Wijaya Indonesia, berkata, dia memakai tudung bagi menunaikan nazarnya selepas terpilih menyertai Kejohanan Pekan Olahraga Indonesia pada 2007.
Pada perlawanan semalam, skuad wanita Indonesia kecundang kepada China apabila sekadar memperoleh keputusan 4-15, 9-15 dan 6-15 dalam perlawanan kedua Kumpulan A.
China selaku naib juara Kumpulan A layak melangkah ke suku akhir hari ini bersama Malaysia yang memperoleh kelebihan sebagai tuan rumah untuk menjadi juara kumpulan sama.

Kejaguhan Thailand masih sukar ditandingi




Pemain pasukan lelaki dan wanita Thailand meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Sepaktakraw Piala Dunia Pertama di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Dendam kekalahan pada Sukan Asia 2010 terus berpanjangan dan Thailand kian bermaharajalela malah bergelar juara sulung Sepak Takraw Piala Dunia Kuala Lumpur 2011 setelah menumpaskan Malaysia 3-0 dalam perlawanan akhir, semalam.
Skuad Gajah Putih itu cuma memerlukan kurang sejam untuk menghampakan anak buah Jamaluddin Hassan 15-4, 15-6, 15-11 di Stadium Titiwangsa dengan kebanyakan mata begitu mudah diperoleh akibat kegagalan servis tekong lawan.
Membariskan Noor Azman Abdul Hamid (tekong), Norshahruddin Mad Ghani (pelibas) dan Farhan Adam (pengumpan), tuan rumah seakan-akan bukan tandingan Thailand yang hanya menurunkan regu kedua, Siriwat Sakha, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee.
Perjudian berani Jamaluddin apabila menukar Noor Azman yang servis kerap terkandas dengan Syazwan Husin dalam set kedua pada kedudukan 2-6 masih gagal mengubah nasib malang regu negara yang ditinggalkan jauh 2-8, 3-10, 4-12 sebelum ditamatkan dengan 6-15.
Hanya set ketiga mampu menyaksikan sedikit tentangan tuan rumah namun musuh tradisi yang diterajui Kamol Tankimhong tetap mahu menamatkan pertarungan lebih cepat dengan memasukkan tekong utamanya, Kriangkrai Kaewmian bagi mendapatkan mata mudah.
Tampanan kemas Pornchai, pelibas berpengalaman tiga Sukan Asia sejak 2002 terhadap libasan Norshahruddin yang mematahkan serangan dan semangat Malaysia turut membantu Thailand mara jauh sekali gus mengaut ganjaran juara, AS$8,000 (RM24,000).
Cuma sekali dua servis Syazwan mampu menghasilkan mata terus dan selebihnya, ia terlalu mudah disambut, dipatahkan dan dimatikan lawan yang turut memiliki lonjakan pelibasnya yang jauh lebih tinggi dan sukar diadang.
Kekalahan regu negara yang sekadar meraih AS$4,000 (RM12,000) ada kaitannya dengan laluan percuma ke pusingan kedua ini malah sekadar menempuh lawan yang kurang handal seperti Taiwan, Filipina (suku akhir) dan Singapura (separuh akhir, beberapa jam sebelumnya).
Tempoh rehat dua hari sejak kejohanan membuka tirainya Khamis lalu, gagal dimanfaatkan tuan rumah malah aksi Myanmar yang turut disekat Thailand 11-15, 7-15, 7-15 dalam satu lagi separuh akhir, didapati lebih baik sementara kita sekadar menundukkan Singapura 15-7, 15-13, 15-4.
Namun kekalahan ini tetap menjamin kelayakan Malaysia ke Siri Super di Bangkok mulai September ini termasuk skuad wanita bimbingan Md. Fikri Md. Nor yang disekat pilihan kedua kejohanan, Vietnam 1-3 (5-15, 15-12, 4-15, 11-15) dalam tempoh 38 minit separuh akhir.
Juara kategori wanita Piala Dunia 2011 turut menjadi milik Thailand yang bersandarkan pemain muda tetapi tidak menghadapi masalah besar untuk menewaskan Vietnam 15-7, 15-12, 15-9 dalam perlawanan akhir setelah mengatasi China pada satu lagi separuh akhir.

Kita ketandusan ilham, bakat

Sebagai tuan rumah Sepaktakraw Piala Dunia yang berjaya menarik lebih 2,000 penonton ke Stadium Titiwangsa kelmarin, kita berhak dipuji tetapi selaku peserta, ia ibarat 'jauh panggang dari api'.

Tiada siapa yang mahu dianggap tidak patriotik apabila mengkritik pencapaian skuad bimbingan Jamaluddin Hassan tetapi hakikatnya Thailand masih dalam kelas tersendiri sedangkan kita terus tertinggal dan kian dirapati Myanmar, Korea Selatan, Indonesia mahupun Laos.

Kesudahannya tetap sama seperti pada Sukan SEA 2009 dan Sukan Asia 2010 yang menyaksikan kita terus menjadi No. 2.
Malaysia tewas 0-3 (4-15, 6-15, 11-15) dalam perlawanan akhir berat sebelah dengan kebanyakannya kerana kelemahan sendiri sedangkan barisan pemain yang diturunkan kelmarin berpengalaman luas dalam Sukan SEA, Asia mahupun Piala Raja Thai dan Kejohanan Dunia Piala Malaysia.
Kecuali pelibas simpanan yang juga ketua pasukan, Mohd. Helmi Ismail, Noor Azman Abdul Hamid, Syazwan Husin, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam bukan orang yang baru di pentas antarabangsa, apatah lagi mereka berlatih di Bukit Jalil sepenuh masa.
Melihat Thailand 'membuli' kita dengan servis tajam tekong dan jarang terbuang, libasan deras dengan lonjakan melangit apit kanan mahupun kawalan ketat apit kiri, cukup menghiris hati 2,000 penyokong yang hadir menyambut seruan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) demi memartabatkan sukan tradisi ini.
Peminat tertanya-tanya di manakah identiti dan kekuatan sejati regu negara dalam menandingi kehebatan Si Gajah Putih?
Lawan menggunakan servis kuda, kita pun terikut-ikut, lawan buat servis dan rejaman laju, kita juga mahu selaju itu namun akhirnya semua itu memakan diri kita balik!
Di mana kreativiti seperti servis gaya Nordin Sabaruddin, Ahmad Ezzat Zaki? Atau tidak bolehkah rejaman dipelbagaikan kawasan serangannya supaya ia jauh dan tidak semata-mata di tengah jaring bagi mengelak dan mengelirukan lawan daripada mudah menampannya?
Servis kuda atau apa sahaja buatan Thailand memang sudah menjadi 'makanan ruji' mereka, maka tidak hairanlah terlalu mudah setiap serangan Noor Azman dan Syazwan atau libasan gulung Norshahruddin dipatahkan dengan bersahaja. Kelmarin jurulatih Thailand, Kamol Tankimhong menafikan dia memperkecilkan kemampuan Malaysia apabila menurunkan tekong dan pelibas pilihan kedua, Siriwat Sakha dan Pornchai Kaokaew terlebih dulu malah merehatkan langsung tonggaknya, Anuwat Chaichana.
Namun, bagi pemerhati sepak takraw, di hati Kamol, dia sudah mendabik dada bahawa regu Malaysia yang ditundukkan di depan penyokong sendiri tidak jauh bezanya dengan Myanmar yang ditewaskan Si Gajah Putih menerusi Siriwat, Pornchai dan Pattarapong 3-0 dalam separuh akhir terdahulu.
Kita memiliki ramai pemain berbakat dan lebih hebat tetapi tidak ramai yang sanggup berkorban dalam pelbagai aspek demi menyahut panggilan negara sedangkan pemain kebangsaan Thailand walaupun sudah mencapai usia persaraannya, belum tentu dapat dijinakkan regu kita.
Kepada PSM, Majlis Sukan Negara (MSN) segeralah bertindak! Dalam 10 atau 15 tahun lagi, kita akan terus tertinggal kerana pembayang sudah ditunjukkan oleh Thailand dalam Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN di Singapura, bulan lalu.
Mereka terus bergelar juara dan ia berpunca daripada sistem pembangunan bakat akar umbi malah lebih mengejutkan ialah Indonesia sudah mengatasi kita yang mengulangi pencapaian di Putrajaya, tahun lalu.

Regu elit sepak takraw mangsa kelab Thailand


Regu elit sepak takraw mangsa kelab Thailand

KUALA LUMPUR - Belum pun reda kecewa dibenam Thailand dalam Piala Dunia 2011 minggu lalu, skuad elit sepak takraw negara mensia-siakan pula peluang untuk menebusnya pada perlawanan akhir Piala EGAT Kelima di Rayong, kira-kira dua jam dari Bangkok, kelmarin.
Biarpun cuma berdepan lawan bertaraf kelab, Tirathai di Gimnasium Rayong, regu Malaysia A yang membariskan Syazwan Husin, Norshahruddin Mad Ghani dan Faizul Hairy Osman tetap tunduk 1-3 sekali gus terlepas ganjaran sebagai juara kejohanan, RM10,000.
Malaysia A (termasuk simpanan, Mohamad Fazil Asri dan Hanafiah Dolah) sekadar membawa pulang RM5,000 sementara Malaysia B (Nasiruddin Manjur Ahmad, Arif Busu, Farhan Adam selain Ahmad Sufi Hashim dan Fadzli Roslan) menduduki tempat keempat.
Malaysia A mulanya menewaskan Malaysia B 3-1 yang membawa pulang RM1,500 pada separuh akhir sementara Tirathai menundukkan tuan rumah, EGAT 3-0 dalam satu lagi perlawanan kejohanan yang disertai 16 regu termasuk dari Laos, Jepun dan Singapura.
Syazwan dan Norshahruddin merupakan dua anggota regu negara yang ditewaskan Thailand (Siriwat Sakha/Kriangkrai Kaewmian, Pornchai Kaokaew, Pattarapong Yupadee) 4-15, 6-15, 11-15 di depan lebih 2,000 penonton Piala Dunia di Stadium Titiwangsa, minggu lalu.
Satu lagi regu negara, Malaysia C yang turut ke Piala EGAT, dianggotai oleh Noor Azman Abdul Hamid yang dipecahkan daripada gandingan utama perlawanan akhir Piala Dunia di samping Mohd. Helmi Ismail dan Anuar Samsudin.
Skuad wanita negara pula di bawah bimbingan Md. Fikri Md. Nor yang cukup menyerlah dengan mara ke separuh akhir Piala Dunia dan hampir mengejutkan Vietnam, kalah kesemua perlawanan di peringkat awal Piala EGAT, Laos 1-3 dan China 0-3.
Kejohanan ini juga sebagai sebahagian persediaan skuad elit dan wanita menghadapi misi besar antarabangsa berikutnya, Siri Super Pertama dan Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-26 di Bangkok dari 8 hingga 16 September depan dan Sukan SEA XXVI, 11 hingga 22 November ini.

Istaf beri peluang kedua Siri Super


Istaf beri peluang kedua Siri Super



KUALA LUMPUR - Sekalipun 12 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita terbaik sudah mengesahkan tiket ke Siri Super Pusingan 1 di Bangkok, bulan depan berdasarkan keputusan Piala Dunia baru-baru ini, masih ada peluang kedua buat mereka yang di luar kelompok itu untuk menyertainya.
Sekretariat Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dari Singapura dalam e-melnya semalam memberitahu, pasukan yang tersingkir mungkin mampu dipilih sebagai pengganti mana-mana yang telah layak tetapi tidak dapat ke Bangkok dari 8 hingga 11 September ini atas sebab tertentu.
Menurut kiriman e-mel Istaf kepada Utusan Malaysia, Thailand yang bergelar juara sulung lelaki Piala Dunia di sini, 24 Julai lalu dan Malaysia yang ditewaskannya 15-4, 15-6, 15-11, diletakkan sebagai pilihan utama dan kedua Siri Super I di Pusat Beli-belah Fashion Island, Bangkok.
Turut layak ialah Myanmar, Singapura, Korea Selatan, Indonesia, India, Filipina, Brunei, Laos, Amerika Syarikat dan Jepun yang dalam 12 teratas Piala Dunia lalu, manakala enam pasukan simpanan (menurut ranking Istaf) sekiranya ada yang menolak atau menarik diri ialah Vietnam, Iran, Taiwan, Jerman, China dan Perancis.
Wanita Thailand yang menjuarai Piala Dunia 2011 setelah menewaskan Vietnam 3-0, mengetuai kategori itu yang meliputi China, Malaysia, India, Myanmar, Korea Selatan dan Kemboja sementara Jepun, Indonesia, Filipina dan Pakistan turut disenaraikan sebagai bakal pengganti.
Siri Super Istaf yang berformat antara regu, turut mengehadkan cuma lima pemain yang boleh didaftarkan oleh setiap negara dalam setiap kategori namun mereka tetap dibenarkan mengirim senarai anggota pasukan yang berbeza daripada Piala Dunia lalu.

Malaysia bakal ke kejohanan berprestij



HANYA Indonesia (berbaju merah) sudi menghantar regu kebangsaannya ke siri ujian dengan skuad elit di Pulau Pinang yang bermula semalam hingga 21 Ogos.


KUALA LUMPUR - Tiada rotan akar pun berguna. Perumpamaan ini tepat buat skuad elit sepak takraw negara yang sedang dalam persediaan menghadapi Siri Super I dan Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-26 di Bangkok, bulan depan.
Hanya Indonesia yang sanggup menghantar pemain kebangsaannya ke siri perlawanan ujian dengan skuad elit di Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban, Pulau Pinang dari pukul 10 malam mulai semalam hingga 21 Ogos ini.
Myanmar yang mara ke separuh akhir Piala Dunia, bulan lalu terpaksa menolak saat akhir siri ujian ini sementara Thailand menghantar kelab Royal Thai Navy yang pernah diwakili perunding skuad elit, Prawet Intar.
Sebuah regu Pulau Pinang turut tampil sebagai pengganti tetapi yang paling menghairankan ialah bagaimana sebuah regu pelajar sekolah tinggi Korea Selatan pun boleh terlibat dalam siri ujian dengan skuad elit kita?
Sekalipun pendedahan perlawanan bagi meningkatkan tahap kecergasan pemain penting khususnya dalam bulan puasa, status persaingan dan lawan sepelatih itu masih perlu dititikberatkan penganjur, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).
Skuad elit pun baru sahaja 'disekolahkan' oleh Thailand dalam perlawanan akhir Piala Dunia di Kuala Lumpur, baru-baru ini lalu adakah wajar anak buah Jamaluddin Hassan ini diadukan dengan regu yang dikatakan juara kejohanan antara sekolah tinggi Korea Selatan?
Malaysia bakal ke kejohanan berprestij dan sehebat Piala Dunia - Siri Super dan Piala Raja Thai (kejohanan antarabangsa tertua) dari 8 hingga 17 September ini dan sepatutnya langkah sekarang ialah memperbetulkan dan meningkatkan mutu persembahan atau gandingan regu utama.
Skuad elit juga dikalahkan hanya kelab Thailand dalam Piala EGAT di Rayong, bulan lalu dan pasti ramai tertanya-tanya sempat atau tidak mereka pulih mendadak di Bangkok nanti jika cuma menentang pemain hingusan Korea yang lebih rendah tarafnya daripada pasukan MSSM.
Siri Super (antara regu) turut disertai Myanmar, Singapura, Korea Selatan, Indonesia, India, Filipina, Brunei, Laos, Amerika Syarikat dan Jepun dan wanita kita berdepan tuan rumah yang juga juara dunia, Vietnam, China, India, Myanmar, Korea Selatan dan Kemboja.
Acara berpasukan dan beregu lelaki dan wanita dipertandingkan dalam Piala Raja Thai tetapi penganjur membahagikan negara peserta menurut Divisyen Perdana, Satu dan Dua seperti tahun terdahulu.

Friday 26 August 2011

Asas melakukan lipatan gulung


Pasukan Malaysia Piala EGAT 2011 Thailand




Misi Kemuncak Sukan SEA XXVI


KUALA LUMPUR - Daripada 17 pemain sejak April lalu, kini cuma tinggal 15 orang di kem latihan pusat yang akan meneruskan persediaan skuad elit sepak takraw menghadapi misi kemuncak tahun ini, Sukan SEA XXVI di Indonesia pada November.

Pelibas, Saiful Nizam Mohd. dan pengumpan, Syazreen Qamar Salehan terpaksa diketepikan lebih awal kerana pembedahan lutut dan masalah peribadi namun Jamaluddin Hassan pantas mencalonkan seorang muka baru gantian.

Nama Mohd. Muqlis Borhan yang sering mewakili PKNS dalam banyak kejohanan terbuka tempatan, meniti di bibir ketua jurulatih negara itu untuk diserapkan ke skuad elit yang sudah beralih pangkalan latihan ke Pulau Pinang sejak Ahad lalu.

Apit kiri bertubuh kecil itu pernah dipanggil ke kem latihan skuad elit dalam fasa awal persediaan ke Sukan Asia Guangzhou tahun lalu tetapi terpaksa menarik diri beberapa minggu kemudian kerana komitmen pekerjaan di sebuah hospital.

"Dia telah dihubungi untuk disenaraikan ke kem latihan dan sudah menyatakan persetujuan tetapi perlu menyelesaikan urusan pelepasan dengan majikan terlebih dulu," kata Jamaluddin kepada Utusan Malaysia.

Kemasukan Mohd. Muqlis juga dianggap tepat memandangkan pengalaman gandingannya dengan Noor Azman Hamid dalam pertandingan tempatan apatah lagi prestasi tekong utama itu agak hambar dalam Piala Dunia, baru-baru ini.
"Setakat ini calon pelibas baru bagi menggantikan Saiful Nizam belum ada dalam perancangan lagi," kata Jamaluddin yang turut menyediakan skuad elit menghadapi Siri Super I (Thailand) dan Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-26 di Bangkok dari 8 hingga 17 September ini.

Selain tuan rumah selaku juara Piala Dunia dan naib juara, Malaysia, Siri Super (lelaki) menampilkan 10 lagi regu dari Myanmar, Singapura, Korea Selatan, Indonesia, India, Filipina, Brunei, Laos, Amerika Syarikat dan Jepun.

Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 Zon Tengah



 Mengulangi tahun lalu, Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) tidak ketinggalan untuk kembali melontar cabaran sebagai antara 50 pasukan yang terawal mendaftar pada Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 Zon Tengah dari 17 hingga 18 September ini.

Malah, berbekalkan suntikan penajaan barangan sukan daripada United Fitness & Leisure Sdn. Bhd. (UFL) baru-baru ini, kelab yang dianggotai petugas dan pengamal media sekitar Lembah Klang ini bakal lebih yakin dan bersedia untuk ‘melibas lawan’ di Kompleks Sukan Negeri Paroi, Seremban.

Ketua pasukan Media Malaysia, Mohd. Izzuddin Kamaruddin berkata, tiga regu terbaik mereka bakal dipertaruhkan dalam kategori Terbuka kejohanan kalah mati itu dengan latihan persediaan menghadapinya tetap giat dijalankan walaupun sepanjang bulan Ramadan ketika ini.

“Kehadiran kami kali ini bukan sekadar pelengkap jadual, namun tetap dengan tekad untuk berada setanding pasukan ternama di Paroi nanti. Sebagai bukti keseriusan kami, sesi latihan tetap dijalankan sebelah malam walaupun sepanjang bulan puasa supaya pemain turut kekal cergas.

“Ujian pemilihan skuad 12 pemain ke KFC-Utusan bakal dijalankan di Bukit Jalil pada 7 dan 14 September ini selepas Aidilfitri dan kami cuba mendapatkan khidmat jurulatih berpengalaman bagi membantu menyiapkan pasukan,” katanya yang juga wartawan foto majalah Motodotmania.

Media Malaysia ketika ini katanya, berjaya menghimpunkan antara 12 hingga 15 pemain pada setiap sesi latihan mingguan di sebalik kesibukan tugas hakiki mereka dengan syarikat akhbar, radio, TV, majalah dan laman web serta agensi Kementerian Penerangan.

Edisi pertama Kejohanan KFC-Utusan di Kompleks Sukan Rakan Muda Puchong, tahun lalu menyaksikan salah sebuah daripada tiga regu Keris sempat mara ke pusingan kedua sebelum akur kepada lawan yang jauh lebih berpengalaman dan dibarisi pemain kebangsaan.

Mengenai penajaan UFL, kata Mohd. Izzuddin, apit kiri Media Malaysia: “Kami berterima kasih dan amat menghargai sumbangan yang berupa jersi, seluar dan beg sukan bernilai ribuan RM ini malah berharap lebih banyak pihak yang turut akan tampil menyokong kami.”

Antara pencapaian terbaik Keris ialah menjuarai kategori Khas Kejohanan Piala Naib Canselor UniMAP, Januari lalu; naib juara Kejohanan Antarabangsa Perancis (September 2010) dan kategori Media (Karnival Kebangsaan KPT-UiTM, Oktober 2010).

Sejak ditubuhkan pada 1 April 2009, kelab ini turut pernah beraksi pada Kejohanan Piala Yang Dipertua MPSJ, Terbuka UPM, Cabaran Rejam Kuala Selangor, Libas Memori selain menjadi rakan sepelatih Iran, Jerman dan Perancis sempena Piala Dunia Pertama, bulan lalu.

Norazman gagal beraksi baik




PSM makin menghairankan...itu saja yang boleh saya katakan. Farhan sebagai apit kiri negara menerima nasib buruk apabila tidak tersenarai dalam regu utama yang bakal bersaing di Siri Super 1 dan Piala Raja Thai bulan hadapan. Selain Farhan, Helmi juga tidak tersenarai dalam regu utama tersebut.



Tempat Farhan bakal digalas oleh Faizul Hairy Osman manakala posisi Helmi digantikan dengan apit kanan kelahiran Terengganu iaitu Fazli Roslan. 

Walaupun Norazman gagal beraksi baik pada kejohanan di Titiwangsa dan Piala Egat, kudratnya tetap ditagih oleh PSM untuk berada sebagai tekong utama. Ahmad Sufi Hashim masih tidak berpeluang berada di regu utama walaupun ramai peminat sepaktakraw tempatan yang ingin melihat aksi beliau dalam regu utama. Manakala nasib tekong dari utara yang tumpas 1 - 15 kepada regu Indonesia baru - baru ini ; Fazil Asri tidak tersenarai dalam pasukan yang bakal ke Bangkok pada 12 - 17 September ini. Selain Fazil, Tunku Noarazawari, Hanafiah dan Anuar juga tidak terpilih.

Monday 22 August 2011

Tapian Gelanggang Batu Uban

Diantara peminat yang turut hadir menyaksikan pertandingan sepak takraw 5 penjuru di Batu Uban.
Sempat bergambar diantara pasukan malaysia dan pasukan USM.

Pertemuan diantara pasukan Malaysia menentang  pasukan USM menyaksikan persaingan yang agak sengit serta  menghangatkan suasana didalam dewan pada malam itu.

Jurulatih pasukan Malaysia Jamaludin Hasan berbaju biru mengatakan sesuatu kepada anak buahnya pada malam itu di Kompleks Majlis Sukan Negeri (MSN) Batu Uban Pulau Pinang.

Kasut Nan Yang Hitam


Ulasan Produk - Kasut Nan Yang Hitam

Bertemu lagi dalam ruangan ulasan produk. Kali ini saya akan menulis mengenai kasut sepaktakraw yang menjadi kegilaan ramai iaitu Nan Yang. 

Kasut buatan Thailand ini sememangnya sinonim dengan sukan sepaktakraw di Malaysia. Boleh dikatakan begitu ramai pemain yang kerap menyertai kejohanan tempatan menggunakan kasut ini. Tanpa mengira posisi, kasut ini seolah - olah satu penanda tahap keseriusan seseorang itu bermain sepaktakraw.


Di Thailand, kasut ini digunakan sebagai kasut sekolah - seperti juga Bata, Warrior dan Pallas di sini. Malah, di Youtube juga terdapat beberapa iklan kasut ini yang menunjukkan ianya untuk pasaran sekolah. Di Kuala Lumpur, terdapat beberapa tempat yang menjual kasut jenama ini. Khabarnya di Melaka dan Kelang juga ada kedai kasut yang memiliki stok kasut ini dengan banyak.

Selain Nan Yang, Breaker dan Tang Nam juga merupakan jenama kasut Thailand yang memiliki rupa yang hampir sama. Cuma beberapa perbezaan kecil di antara ketiga - tiga ini. 


Saya mendapat kasut ini dari Saad - (Cari beliau di Facebook dengan nama Saad Ku Idamkan Khan) di mana beliau merupakan seorang usahawan yang agak kerap ke Thailand untuk perniagaan. Bersaiz 42, ini merupakan kali pertama saya menggunakan Nan Yang berwarna hitam. Agak berat pada awal menyarungnya..tetapi kasut ini memberi keselesaan pada permukaan kekura dalam dan luar kaki.

Kali pertama saya menyarungnya saya berada di posisi tekong. Agak sedap melakukan servis sepak / hentak. Begitu juga untuk melakukan servis drop, gesekan di bahagian tapak tidak memerlukan usaha keras kerana tapaknya yang bagus. Kawalan bola dengan menahan servis atau libasan laju juga agak bagus dengan kasut ini. 



Setelah menggunakannya lebih dari 3 bulan saya dapati kesan haus pada tapak dan permukaan atas adalah sangat minima. Ini mampu memberi jangka hayat yang panjang pada kasut ini. Cuma rasa berat menggunakan kasut ini sememangnya terasa. Hanya selepas beberapa lama baru anda akan benar - benar rasa selesa menggunakan kasut ini.

Tidak banyak kesan haus kelihatan

Sedikit sahaja hausnya


Masih utuh

Seterusnya saya turut menggunakan kasut ini untuk aksi melibas. Saya dapati kasut ini memberikan banyak kelebihan sekiranya  anda menggunakan teknik gulung atau hand stand. Ini adalah kerana saiz permukaan yang lebar dan luas memberi lebih ruang untuk melakukan pelbagai variasi bola. Untuk libas Maniam / Back Stroke - saya masih memilih Badminton Master sebagai kasut yang lebih baik kerana Nan Yang ini memiliki kekurangan dalam aspek lenturan bahagian hadapan kasut. Ia agak keras untuk melakukan teknik cangkuk atau jilat bola.

Seolah seperti tidak diguna dengan  kerap kesan geserannya



Secara keseluruhan, kasut ini memang sangat bagus untuk permainan sepaktakraw. Selain dari ketahanan, reka bentuknya juga banyak memberi kelebihan

Tuesday 16 August 2011

Hala Tuju Sepak Takraw Negara


PSM Anjur Seminar Hala Tuju Sepak Takraw Negara

KUALA TERENGGANU, 8 Feb (Bernama) — Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan menganjurkan seminar mengenai hala tuju sepak takraw negara selama dua hari mulai Khamis ini di dewan Komanwel Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail berkata seminar bertajuk Percambahan Minda PSM itu bertujuan untuk membincangkan kelemahan-kelemahan yang ada dalam sukan sepak takraw di negara ini dan mencadangkan penyelesaiannya.
“Harapan kita mereka yang datang boleh menyumbangkan pemikiran atau memberi idea bernas untuk hala tuju sepak takraw negara pada masa depan,” katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.
Ahmad berkata seminar itu akan dihadiri semua ahli majlis tertinggi PSM, pengerusi pengadil, ahli gabungan PSM dan pengerusi kejurulatihan.
Katanya PSM juga mengundang golongan veteran dalam sukan itu seperti bekas pengurusan PSM yang lalu, bekas jurulatih dan pemain untuk sama-sama memberikan idea untuk memulihkan sukan sepak takraw negara.
Beliau berkata sebanyak tiga kertas kerja akan dibentangkan pada seminar itu iaitu bertajuk “Sains Perubatan dan Teknologi Ke Arah Kecemerlangan Sukan Sepak Takraw Negara” oleh Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah Institut Sukan Negara.
Dua lagi kertas kerja dibentangkan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim bertajuk “Sejarah: Dulu, Kini dan Masa Depan Sukan Sepak Takraw Negara” dan pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Prof Madya Zulkifli Abdul Kadir bertajuk “Sepak Takraw – Ke Arah Menjana Perancangan Dan Latihan Yang Efisien serta Memantapkan Sains dan Seni Kejurulatihan”.
Ahmad berkata pada hari Jumaat pula, PSM akan mengadakan majlis pelancaran Istaf World Cup 2011 oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Katanya semua pemimpin utama Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) seperti Presidennya Jeneral Charouk Arirachkaran, Setiausahanya Poonchai Lorphiphat dan Presiden Persekutuan Sepakt Takraw Asia (Astaf) Abdul Halim Kadir dijadual hadir pada majlis itu.
– BERNAMA

Malaysia Vs Thailand Final


Thai dikekang


Thai dikekang dalam takraw Piala Raja Thai

PASUKAN Thailand merai kejayaan mempertahankan Piala Raja Thai dalam edisi ke-24 selepas menewaskan Malaysia 2-0 di Bangkok, Julai tahun lalu.
Dipetik dari Utusan Malaysia
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm

KUALA LUMPUR - Dasar kekangan penyertaan yang diperkenalkan tahun lalu, diteruskan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), sebagai prasyarat merestui Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thai Ke-25 di Bangkok pada 27 Julai hingga 1 Ogos ini.
Ia bererti tuan rumah sendiri yang juga musuh tradisi Malaysia, tidak terkecuali daripada dasar tersebut yang turut dilaksanakan pada Sukan SEA Laos, Disember lalu, yang menyaksikan skuad kita pulang dengan sebutir perak dan sebutir gangsa.
Menurut dasar yang dianggap satu cara terbaik bagi pengagihan gelaran yang sama rata itu, setiap negara peserta secara maksimum hanya layak menyertai tiga daripada empat acara yang dipertandingkan bagi setiap kategori lelaki dan wanita di Fashion Island, Bangkok itu.
Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Agung Istaf yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Abdul Halim Kader dalam kiriman e-melnya kepada Utusan Malaysia, yang turut disahkan Presiden Istaf dan Persatuan Takraw Thailand (TAT), Charouck Arirachakaran.
Thailand menjuarai acara berpasukan dengan menewaskan anak buah Haris Abdul Rahman 2-0 selain menguasai beregu dan gelung pada Piala Raja Thai tahun lalu, manakala Indonesia menghampakan kita dalam antara regu setelah tuan rumah rela mengorbankan penyertaannya.
Piala Raja Thai selaku satu-satunya kejohanan tertua antarabangsa yang masih bertahan sejak 1984, secara tradisinya cuma mempertandingkan acara berpasukan (tiga regu) sekali gus diumpamakan 'Piala Dunia' sepak takraw apatah lagi dengan kejayaannya menarik lebih 20 negara peserta.
Berbeza dengan Kejohanan Dunia Piala Malaysia yang diasaskan oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sejak 2004 dengan ganjaran puluhan ribuan RM bagi berpasukan, antara regu dan beregu, TAT sekadar menghadiahkan Piala Raja Thai, piala sampingan dan pingat kepada negara pemenang tanpa sebarang wang tunai

Kasut Sepaktakraw


Kasut Sepaktakraw



Kasut terbaru saya..boleh tahan juga



Salam.
Dalam entri kali ini saya akan berkongsi perkara yang penting mengenai permainan sepaktakraw ini iaitu KASUT!!!!

Warrior Hi Cut

Sejak saya kecil, adalah mudah bagi saya mengesan siapa yang bermain sukan ini..dengan hanya melihat kasut mereka. Pengamatan saya mengenai perkara ini ialah kebanyakan pemain zaman 80an dan 90an menggemari kasut Bata tapak hijau untuk posisi Killer dan kasut potongan tinggi (hi-cut) jenama Warrior atau All - Star untuk posisi tekong. Manakala Feeder kebanyakkannya menggunakan Warrior tapak merah.

Bata Tapak Hijau..sedap ni..

Keselesaan dan grip kasut sememangnya penting dalam sukan ini kerana ia menentukan gaya timangan dan juga sepakan. Kasut jogging bukan pilihan popular pemain kerana bibirnya yang tidak rata dan mudah mengganggu timangan..namun, tekong lagenda Singapura iaitu Norhisham amat menggemari kasut jogging dan digunakan secara konsisten dalam pertandingan.

Memasuki era 2000, kasut Diadora mula menjadi piliha kebanyakan Feeder kerana rupanya yang lebih elegen dan lebih tahan lasak berbanding Warrior tapak merah. Mat Bo (Rosli) juga menggunakan Diadora ini ketika dikemuncak karier beliau.

Kasut Warrior tapak merah yang mengalami transformasi

Adidas pula mula memasuki pasaran apabila kasut yang biasanya dipakai oleh pemain papan selaju (skateboard) mula diguna oleh pemain takraw. Tekong dan Feeder juga nampaknya selesa dengan kasut ini kerana sisinya yang agak tebal memudahkan mereka menampan bola (break ball) dengan hanya menahan sedikit sahaja. Namun saya perhatikan fleksibiliti kasut ini agak terhad. Saya juga baru - baru ini membeli kasut potongan ini dan mencubanya. Nyata sangkaan saya tepat kerana saya mampu melakukan servis dengan lebih sedap dan setting yang lebih konsisten.

Nan Yang Lite yang selalu dilihat di mana - mana pertandingan

Namun..bagi saya dan kebanyakan pemain takraw, kasut lagenda ialah Nan Yang..bukan suratkhabar Nan Yang Siang Pao tetapi kasut keluaran Thailand yang sangat popular. Kasut ini walaupun sedikit berat berbanding Bata tapak hijau tetapi memiliki daya tahan yang baik, tapak yang lebih tahan lama dan lenturan yang bagus. Saya masih memiliki Nan Yang yang saya beli 4 tahun lalu dan saya masih selesa menggunakannya.

Nan Yang hitam

Walaubagaimanapun, perkara ini amat subjektif. Tepuk kaki tanya bola ok!

Kuasa Sepak Takraw Dunia