Saturday 27 August 2011

Malaysia bakal ke kejohanan berprestij



HANYA Indonesia (berbaju merah) sudi menghantar regu kebangsaannya ke siri ujian dengan skuad elit di Pulau Pinang yang bermula semalam hingga 21 Ogos.


KUALA LUMPUR - Tiada rotan akar pun berguna. Perumpamaan ini tepat buat skuad elit sepak takraw negara yang sedang dalam persediaan menghadapi Siri Super I dan Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-26 di Bangkok, bulan depan.
Hanya Indonesia yang sanggup menghantar pemain kebangsaannya ke siri perlawanan ujian dengan skuad elit di Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban, Pulau Pinang dari pukul 10 malam mulai semalam hingga 21 Ogos ini.
Myanmar yang mara ke separuh akhir Piala Dunia, bulan lalu terpaksa menolak saat akhir siri ujian ini sementara Thailand menghantar kelab Royal Thai Navy yang pernah diwakili perunding skuad elit, Prawet Intar.
Sebuah regu Pulau Pinang turut tampil sebagai pengganti tetapi yang paling menghairankan ialah bagaimana sebuah regu pelajar sekolah tinggi Korea Selatan pun boleh terlibat dalam siri ujian dengan skuad elit kita?
Sekalipun pendedahan perlawanan bagi meningkatkan tahap kecergasan pemain penting khususnya dalam bulan puasa, status persaingan dan lawan sepelatih itu masih perlu dititikberatkan penganjur, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).
Skuad elit pun baru sahaja 'disekolahkan' oleh Thailand dalam perlawanan akhir Piala Dunia di Kuala Lumpur, baru-baru ini lalu adakah wajar anak buah Jamaluddin Hassan ini diadukan dengan regu yang dikatakan juara kejohanan antara sekolah tinggi Korea Selatan?
Malaysia bakal ke kejohanan berprestij dan sehebat Piala Dunia - Siri Super dan Piala Raja Thai (kejohanan antarabangsa tertua) dari 8 hingga 17 September ini dan sepatutnya langkah sekarang ialah memperbetulkan dan meningkatkan mutu persembahan atau gandingan regu utama.
Skuad elit juga dikalahkan hanya kelab Thailand dalam Piala EGAT di Rayong, bulan lalu dan pasti ramai tertanya-tanya sempat atau tidak mereka pulih mendadak di Bangkok nanti jika cuma menentang pemain hingusan Korea yang lebih rendah tarafnya daripada pasukan MSSM.
Siri Super (antara regu) turut disertai Myanmar, Singapura, Korea Selatan, Indonesia, India, Filipina, Brunei, Laos, Amerika Syarikat dan Jepun dan wanita kita berdepan tuan rumah yang juga juara dunia, Vietnam, China, India, Myanmar, Korea Selatan dan Kemboja.
Acara berpasukan dan beregu lelaki dan wanita dipertandingkan dalam Piala Raja Thai tetapi penganjur membahagikan negara peserta menurut Divisyen Perdana, Satu dan Dua seperti tahun terdahulu.

No comments:

Post a Comment