Saturday 27 August 2011

Kejaguhan Thailand masih sukar ditandingi




Pemain pasukan lelaki dan wanita Thailand meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Sepaktakraw Piala Dunia Pertama di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Dendam kekalahan pada Sukan Asia 2010 terus berpanjangan dan Thailand kian bermaharajalela malah bergelar juara sulung Sepak Takraw Piala Dunia Kuala Lumpur 2011 setelah menumpaskan Malaysia 3-0 dalam perlawanan akhir, semalam.
Skuad Gajah Putih itu cuma memerlukan kurang sejam untuk menghampakan anak buah Jamaluddin Hassan 15-4, 15-6, 15-11 di Stadium Titiwangsa dengan kebanyakan mata begitu mudah diperoleh akibat kegagalan servis tekong lawan.
Membariskan Noor Azman Abdul Hamid (tekong), Norshahruddin Mad Ghani (pelibas) dan Farhan Adam (pengumpan), tuan rumah seakan-akan bukan tandingan Thailand yang hanya menurunkan regu kedua, Siriwat Sakha, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee.
Perjudian berani Jamaluddin apabila menukar Noor Azman yang servis kerap terkandas dengan Syazwan Husin dalam set kedua pada kedudukan 2-6 masih gagal mengubah nasib malang regu negara yang ditinggalkan jauh 2-8, 3-10, 4-12 sebelum ditamatkan dengan 6-15.
Hanya set ketiga mampu menyaksikan sedikit tentangan tuan rumah namun musuh tradisi yang diterajui Kamol Tankimhong tetap mahu menamatkan pertarungan lebih cepat dengan memasukkan tekong utamanya, Kriangkrai Kaewmian bagi mendapatkan mata mudah.
Tampanan kemas Pornchai, pelibas berpengalaman tiga Sukan Asia sejak 2002 terhadap libasan Norshahruddin yang mematahkan serangan dan semangat Malaysia turut membantu Thailand mara jauh sekali gus mengaut ganjaran juara, AS$8,000 (RM24,000).
Cuma sekali dua servis Syazwan mampu menghasilkan mata terus dan selebihnya, ia terlalu mudah disambut, dipatahkan dan dimatikan lawan yang turut memiliki lonjakan pelibasnya yang jauh lebih tinggi dan sukar diadang.
Kekalahan regu negara yang sekadar meraih AS$4,000 (RM12,000) ada kaitannya dengan laluan percuma ke pusingan kedua ini malah sekadar menempuh lawan yang kurang handal seperti Taiwan, Filipina (suku akhir) dan Singapura (separuh akhir, beberapa jam sebelumnya).
Tempoh rehat dua hari sejak kejohanan membuka tirainya Khamis lalu, gagal dimanfaatkan tuan rumah malah aksi Myanmar yang turut disekat Thailand 11-15, 7-15, 7-15 dalam satu lagi separuh akhir, didapati lebih baik sementara kita sekadar menundukkan Singapura 15-7, 15-13, 15-4.
Namun kekalahan ini tetap menjamin kelayakan Malaysia ke Siri Super di Bangkok mulai September ini termasuk skuad wanita bimbingan Md. Fikri Md. Nor yang disekat pilihan kedua kejohanan, Vietnam 1-3 (5-15, 15-12, 4-15, 11-15) dalam tempoh 38 minit separuh akhir.
Juara kategori wanita Piala Dunia 2011 turut menjadi milik Thailand yang bersandarkan pemain muda tetapi tidak menghadapi masalah besar untuk menewaskan Vietnam 15-7, 15-12, 15-9 dalam perlawanan akhir setelah mengatasi China pada satu lagi separuh akhir.

No comments:

Post a Comment