Monday 27 February 2012

Malaysia kalah gara-gara komplot Singapura-Thailand?


Utusan Malaysia/Sukan




JAMALUDDIN Hassan (kanan) mendakwa jurulatih Thailand, Kamol Tankimhong (kiri) mendedahkan rakaman gambar servis Mohamad Fazil Mohd. Asri yang didakwa batal, kepada pengadil Siri Super 2.



KUALA LUMPUR - Bukan sengaja mahu mencari alasan tetapi jika tidak kerap diganggu dengan pembatalan pengadil Singapura, regu negara mungkin mampu mencipta kejutan untuk meragut gelaran Siri Super 2 Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) daripada musuh tradisi Thailand di Palembang, Indonesia kelmarin.
Beberapa kali keputusan pengadil terhadap servis regu Malaysia meragut tumpuan tekongnya, Mohamad Fazil Mohd. Asri di Pusat Sukan dan Konvensyen Palembang sehingga lawan mudah beroleh mata percuma dan bangkit mengejar ketika ditinggalkan agak jauh, 2-6 dalam set pertama dan 2-7 pada set ketiga.
Rasa kurang puas hati berbaur terkilan ini diluahkan jurulatih negara, Jamaluddin Hassan ketika merumuskan prestasi anak buahnya yang ditewaskan juara dunia, 9-15, 5-15, 8-15 dalam perlawanan akhir selama 50 minit tetapi tetap memperbaiki pencapaian sekadar ke suku akhir Siri Super 1 di Bangkok, September lalu.
"Saya dapat tahu Kamol (Tankimhong, jurulatih Thailand) telah merakamkan gambar (Mohamad) Fazil yang didakwanya batal dalam melakukan servis ketika menentang Korea Selatan (separuh akhir, Sabtu lalu) dan dia mungkin menyampaikannya kepada pengadil berkenaan. Keadaan ini tidak pula berlaku dalam perlawanan sebelumnya.
"Malah, saya perhatikan ada tekong negara lain yang membuat servis sebegitu (memijak garisan bulatan atau terkeluar dahulu) tetapi tidak pun dibatalkan. Apabila kerap ditangkap batal oleh pengadil, permainan Fazil memang terganggu dan tertekan lalu sukar mendapatkan lambungan bola dan rentak yang dikehendaki," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Angkara tindakan pengadil itu, Mohamad Fazil, Norshahruddin Mad Ghani (Fadzli Roslan) dan Farhan Adam yang baru digandingkan kurang dua bulan, ibarat terpaksa bertarung dengan 'empat orang' selain Siriwat Sakha, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee dari Thailand yang bagaimanapun diakui mantap.
"Servis dan libasan Thailand memang banyak yang menjadi dan sukar ditangkis. Gandingan dan keserasian mereka juga sudah lama terbentuk. Kami pun mulanya sasar separuh akhir sahaja dan alhamdulillah apabila dapat ke perlawanan akhir sekali gus memperbaiki pencapaian suku akhir dalam Siri Super 1 lalu.
"Malah jurulatih Indonesia memuji peningkatan regu kita dan menganggap pencapaian ini cukup memeranjatkannya kerana di sini mereka masih menurunkan pemain regu Sukan SEA (yang menewaskan Malaysia dua kali tetapi ditundukkan lawan dalam perlawanan Kumpulan A Siri Super 2, Jumaat lalu)," katanya.
Jamaluddin turut kurang senang dengan tindakan pihak yang menghalang dan mengenakan macam-macam arahan terhadap kem Malaysia ketika mahu membuat rakaman video analisis pasukan sedangkan kem Thailand diberikan kebebasan.