Wednesday 29 August 2012

Mengembalikan kegemilangan sepak takraw

ARKIB : 28/10/2008 Utusan Malaysia

Mengembalikan kegemilangan sepak takraw

KANGAR 27 Okt. – Persatuan Sepak Takraw Perlis mahu mengembalikan kegemilangan permainan tradisional itu dengan giat melakukan usaha mencari bakat baru di peringkat daerah dan sekolah.
Presidennya, Muhammad Razali berkata, persatuan itu mempunyai gerak kerja strategik untuk memberi peluang kepada mereka yang berminat dalam sukan tersebut di semua peringkat.
Katanya, selain memajukan bidang sukan itu persatuan juga akan menjadikan sepak raga sebagai program merakyatkan seni dan budaya.
‘‘Sebagai galakan persatuan akan menyediakan jaring dan bola di peringkat kampung untuk mengembalikan minat golongan muda terhadap sukan ini.
‘‘Kita bercadang menjadikan sepak raga salah satu sukan perpaduan apabila ia sangat sesuai dimainkan semua kaum dalam suasana yang harmoni,” katanya di sini hari ini.

Tiga sebab regu Malaysia kalah

ARKIB : 04/11/2008 Utusan |Malaysia

Tiga sebab regu Malaysia kalah

KUALA LUMPUR - Jurulatih negara, Haris Abdul Rahman mempunyai alasan kukuh mengapa anak buahnya terus kecundang walaupun hanya kepada sebuah regu kelab wilayah yang mewakili Thailand dalam perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Jemputan Antarabangsa Pasir Gudang, kelmarin.
Taraf lawan yang lebih baik daripada skuad negaranya, ketiadaan pelibas yang sepatutnya - Hamikhairi Roslan dan Taufik Saad serta tekanan kali pertama berdepan ribuan penonton sendiri dijadikan punca tersungkur 0-2 (13-21, 16-21) di Atrium Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, Johor.
"Walaupun bukan pasukan kebangsaan, pemain lawan berkemahiran tinggi dan memang lebih bagus malah hanya sekali libasan mereka yang terkandas jika dibandingkan dengan skuad Piala Raja Thai," katanya yang turut menerajui skuad negara ketika kalah pada perlawanan akhir berpasukan dan beregu kejohanan di Bangkok itu, Ogos lalu.
Kata Haris, skuad negara juga turun ke Pasir Gudang tanpa Hamikhairi yang tidak mendapat pelepasan majikannya sedangkan pelibas itu yang lebih serasi bergandingan dengan tekong Malaysia A kelmarin, Syazwan Hussin dan pengumpan, Syafiq Rahman.
"Ketika kami mahu menggantikannya dengan Taufik, dia pula perlu menghadiri satu temu duga kerja lalu terpaksalah kami turunkan Khairuddin Adenan yang kurang berpengalaman dalam menangani situasi genting dan tekanan penonton yang hampir 3,000 orang itu walaupun libasannya tetap bagus," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Thailand yang turut mengaut RM3,500, cuma menurunkan pemain kurang dikenali seperti Trairong Liyarat, Rangsirod Sirisamutsan dan Suwiwat Kalyasari serta bekas tekong pemenang perak Sukan Asia Hiroshima 1994, Narong Chaikeawnopparat selaku simpanan.
Regu negara sekadar membawa pulang RM2,500 selaku naib juara manakala Malaysia B (Sulaiman Salleh, Arif Busu dan Fadlansyah Barahim) yang dikalahkannya dalam separuh akhir 1-2 (17-21, 22-20, 15-10) meraih sagu hati RM1,500 bersama-sama Indonesia 'A'.
Dilatih oleh bekas pengurus pasukan di Hiroshima Udom Supaweera, regu Thailand itu turut membenam Malaysia B 2-0 (21-6, 22-20) dalam perlawanan peringkat awal, kelmarin sekali gus menuntut Haris dan penolongnya melancarkan tindakan drastik sama ada dalam program latihan mahupun gandingan pemain negara selepas ini.
Turut menguatkan desakan itu ialah ekoran gagalnya dua lagi regu negara dalam kategori antara Kelab Kebangsaan di mana kejuaraannya menjadi milik regu PKINK yang turut membariskan bekas tekong juara Sukan SEA Filipina 2005, Normanizam Ahmad dengan menewaskan Angkatan Tentera A 21-14, 20-22, 15-11.
Selepas ini Malaysia yang membariskan Syazwan, Khairuddin, Arif, Fadlansyah dan Ahmad Sufi Hashim, akan menyertai Kejohanan Jemputan Antarabangsa Nanning, China dari Jumaat ini hingga 10 November di samping skuad wanita (Siti Norzubaidah Che Wahab, Nurrashidah Rashid, Siti Norhalimi Hussain, Lawi Sanggat dan Noor Fairuz Azizan.
Sepanjang tahun ini skuad negara cuma mara ke suku akhir dan separuh akhir Piala Datuk Bandar Hatyai, Februari lalu dan muncul naib juara berpasukan dan beregu Piala Raja Thai di Bangkok manakala tugasan antarabangsa terakhirnya ialah Kejohanan Antarabangsa Hanoi dari 22 hingga 28 Disember ini.