Monday 17 October 2011

Tiga regu tumbangkan pasukan gergasi






Apit kanan pasukan ATM-JLJ Mohd. Idris Hamid membuat libasan sambil dihalang apit kanan UTM B, Halimi Ismail pada suku akhir Kategori Terbuka Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 di Pusat Sukan UiTM Shah Alam, semalam. - MINGGUAN/Hafiz Johari


SHAH ALAM - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) B, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) A dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) B mencipta kejutan sebagai 'pemusnah gergasi' dengan mara ke separuh akhir kategori Terbuka Peringkat Antara Zon Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 di Pusat Sukan UiTM, Shah Alam, semalam.
Masing-masing menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) JLJ dan Gabungan Sepak Takraw Teluk Paku (Gastep) B 2-1 serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) A 2-0 pada suku akhir sementara juara Zon Tengah, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) A menepati ramalan dengan mengatasi semula Dinamis 2-1.
Dengan hanya bergelar pemenang ketiga bersama Zon Selatan dan Tengah serta naib juara zon Timur, mereka kini mengiringi MBMB A untuk menghampiri gelaran Terbuka kejohanan edisi kedua ini dan memburu ganjaran termahal dalam sejarah pertandingan tempatan, RM10,000 di The Curve, Damansara, hari ini.
UTM B memerlukan sejam untuk menang 17-15, 9-15, 15-13; begitu juga MPT A yang menang 15-7, 13-15, 15-8 manakala Pestans mendapat kemenangan percuma pada set kedua kerana seorang pemain PKNS A tercedera selepas mereka memenangi set pertama, 15-2.
Kekalahan PKNS A itu bererti mereka gagal mempertahankan gelaran tahun lalu biarpun membariskan pemain yang berlainan dalam edisi ini, begitu juga ATM JLJ yang terlepas peluang untuk mengulangi kemaraan ke perlawanan akhir kali kedua berturut-turut.
Dinamis pula nyaris dapat menebus dendam kekalahan pada perlawanan akhir Zon Tengah di Paroi, bulan lalu apabila memenangi set pertama 15-9 sebelum lawan yang sama di Shah Alam kali ini, MBMB A yang diperkuatkan bekas apit kiri negara, Syafiq Ab. Rahman memenangi dua set terakhir, 15-10, 15-7.
Ketiga-tiga regu yang kalah suku akhir semalam merupakan naib juara Zon Utara di Alor Setar, juara Zon Timur (Kuantan) dan naib juara Zon Selatan (Pasir Gudang) malah ada di antaranya yang memiliki bekas pemain kebangsaan dan negeri terutama sekali di posisi tekong.
Pertembungan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada pukul 9 dan 9.45 pagi di The Curve bakal menyaksikan UTM B menentang Pestans B sementara MBMB A dan MPT A berentap demi satu lagi tiket ke perlawanan akhir pada sebelah petangnya.
Naib juara kategori yang menjadi perhatian penggemar sepak takraw tanah air ini turut akan menerima ganjaran RM8,000 sementara kedua-dua regu yang kalah separuh akhir, bakal berjuang bagi penentuan pemenang tempat ketiga dan keempat yang masing-masing menjanjikan RM6,000 dan RM3,000.
Kata jurulatih MPT A, Mohamad Harry Herman Mokhtar: "Aksi kami hari ini (semalam) serba menjadi dan servis tekong lawan (bekas pemain pelapis negara, Subha Latip) dapat dijawab dan dipatahkan walaupun kecuali Norshahidan Masri (bertaraf negeri), apit kanan dan kiri kami hanyalah pemain kurang ternama.
"Namun saya rasa kemenangan ini hasil semangat yang meningkat setelah mereka mengejutkan regu Pestans A (memiliki tekong juara Sukan SEA 2005, Normanizam Ahmad, kelmarin) dan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang A (dengan bekas pelibas Sukan SEA 2009, Taufik Saad)," katanya.