Saturday 27 August 2011

Istaf beri peluang kedua Siri Super


Istaf beri peluang kedua Siri Super



KUALA LUMPUR - Sekalipun 12 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita terbaik sudah mengesahkan tiket ke Siri Super Pusingan 1 di Bangkok, bulan depan berdasarkan keputusan Piala Dunia baru-baru ini, masih ada peluang kedua buat mereka yang di luar kelompok itu untuk menyertainya.
Sekretariat Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dari Singapura dalam e-melnya semalam memberitahu, pasukan yang tersingkir mungkin mampu dipilih sebagai pengganti mana-mana yang telah layak tetapi tidak dapat ke Bangkok dari 8 hingga 11 September ini atas sebab tertentu.
Menurut kiriman e-mel Istaf kepada Utusan Malaysia, Thailand yang bergelar juara sulung lelaki Piala Dunia di sini, 24 Julai lalu dan Malaysia yang ditewaskannya 15-4, 15-6, 15-11, diletakkan sebagai pilihan utama dan kedua Siri Super I di Pusat Beli-belah Fashion Island, Bangkok.
Turut layak ialah Myanmar, Singapura, Korea Selatan, Indonesia, India, Filipina, Brunei, Laos, Amerika Syarikat dan Jepun yang dalam 12 teratas Piala Dunia lalu, manakala enam pasukan simpanan (menurut ranking Istaf) sekiranya ada yang menolak atau menarik diri ialah Vietnam, Iran, Taiwan, Jerman, China dan Perancis.
Wanita Thailand yang menjuarai Piala Dunia 2011 setelah menewaskan Vietnam 3-0, mengetuai kategori itu yang meliputi China, Malaysia, India, Myanmar, Korea Selatan dan Kemboja sementara Jepun, Indonesia, Filipina dan Pakistan turut disenaraikan sebagai bakal pengganti.
Siri Super Istaf yang berformat antara regu, turut mengehadkan cuma lima pemain yang boleh didaftarkan oleh setiap negara dalam setiap kategori namun mereka tetap dibenarkan mengirim senarai anggota pasukan yang berbeza daripada Piala Dunia lalu.

No comments:

Post a Comment