Friday 26 August 2011

Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 Zon Tengah



 Mengulangi tahun lalu, Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) tidak ketinggalan untuk kembali melontar cabaran sebagai antara 50 pasukan yang terawal mendaftar pada Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 Zon Tengah dari 17 hingga 18 September ini.

Malah, berbekalkan suntikan penajaan barangan sukan daripada United Fitness & Leisure Sdn. Bhd. (UFL) baru-baru ini, kelab yang dianggotai petugas dan pengamal media sekitar Lembah Klang ini bakal lebih yakin dan bersedia untuk ‘melibas lawan’ di Kompleks Sukan Negeri Paroi, Seremban.

Ketua pasukan Media Malaysia, Mohd. Izzuddin Kamaruddin berkata, tiga regu terbaik mereka bakal dipertaruhkan dalam kategori Terbuka kejohanan kalah mati itu dengan latihan persediaan menghadapinya tetap giat dijalankan walaupun sepanjang bulan Ramadan ketika ini.

“Kehadiran kami kali ini bukan sekadar pelengkap jadual, namun tetap dengan tekad untuk berada setanding pasukan ternama di Paroi nanti. Sebagai bukti keseriusan kami, sesi latihan tetap dijalankan sebelah malam walaupun sepanjang bulan puasa supaya pemain turut kekal cergas.

“Ujian pemilihan skuad 12 pemain ke KFC-Utusan bakal dijalankan di Bukit Jalil pada 7 dan 14 September ini selepas Aidilfitri dan kami cuba mendapatkan khidmat jurulatih berpengalaman bagi membantu menyiapkan pasukan,” katanya yang juga wartawan foto majalah Motodotmania.

Media Malaysia ketika ini katanya, berjaya menghimpunkan antara 12 hingga 15 pemain pada setiap sesi latihan mingguan di sebalik kesibukan tugas hakiki mereka dengan syarikat akhbar, radio, TV, majalah dan laman web serta agensi Kementerian Penerangan.

Edisi pertama Kejohanan KFC-Utusan di Kompleks Sukan Rakan Muda Puchong, tahun lalu menyaksikan salah sebuah daripada tiga regu Keris sempat mara ke pusingan kedua sebelum akur kepada lawan yang jauh lebih berpengalaman dan dibarisi pemain kebangsaan.

Mengenai penajaan UFL, kata Mohd. Izzuddin, apit kiri Media Malaysia: “Kami berterima kasih dan amat menghargai sumbangan yang berupa jersi, seluar dan beg sukan bernilai ribuan RM ini malah berharap lebih banyak pihak yang turut akan tampil menyokong kami.”

Antara pencapaian terbaik Keris ialah menjuarai kategori Khas Kejohanan Piala Naib Canselor UniMAP, Januari lalu; naib juara Kejohanan Antarabangsa Perancis (September 2010) dan kategori Media (Karnival Kebangsaan KPT-UiTM, Oktober 2010).

Sejak ditubuhkan pada 1 April 2009, kelab ini turut pernah beraksi pada Kejohanan Piala Yang Dipertua MPSJ, Terbuka UPM, Cabaran Rejam Kuala Selangor, Libas Memori selain menjadi rakan sepelatih Iran, Jerman dan Perancis sempena Piala Dunia Pertama, bulan lalu.

No comments:

Post a Comment