Monday 23 January 2012

Takraw perlu tumpu sekolah sukan - Ismail


ARKIB : 04/01/2012      utusan_malaysia/Sukan - 04/01/2012
0


KUALA LUMPUR - Contohi Thailand yang bertumpu ke sekolah-sekolah sukan dalam membentuk barisan pelapis sepak takraw.
Maka, Malaysia pasti mampu kembali menyaingi dan merampas posisi No. 1 dunia milik musuh tradisi itu.
Pemilihan pemain kebangsaan sekarang yang semata-mata atas bakat semula jadi juga wajar diperbaiki manakala Jawatankuasa Pemilihan dan Kejurulatihan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) digesa kerap turun padang memantau perkembangan bakat-bakat baru di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Saranan ini disuarakan Ismail Atan, bekas apit kanan negara yang juga jurulatih Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar dan menerajui Johor menduduki tempat ke-10 Liga Siri Super PSM, baru-baru ini - kurang satu tangga ke Piala Perdana Menteri, Mac ini.
"Tidak banyak bezanya kita dengan Thailand tetapi kemahiran asas pemain lawan cukup kuat dan ia berpunca daripada tumpuan mereka mendapatkan pemain dari 17 sekolah sukan di sana. Habis sekolah, mereka sudah ada hala tuju," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Ismail yang pernah melatih Brunei dari 1995 hingga 2005 dengan pencapaian terbaik gangsa Sukan Asia Bangkok 1998 dan Sukan SEA Brunei 1999, menambah, skuad elit cuma ada satu produk SSTMI, Fadzli Roslan tetapi ke mana perginya yang lain-lain?
"Kita juga ada banyak sekolah sukan negeri seperti Bukit Nanas Terengganu atau Mutiara Impian Pulau Pinang, malah ada lepasan SSTMI ke pra universiti dan akhirnya, IPT. Mengapa tidak PSM memantau dan mendapatkan pemain-pemain ini," katanya.
Jelasnya, alangkah bagus kalau lebih ramai bekas pemain negara yang sudah tidak bekerja tetap, diambil berkhidmat dengan sekolah-sekolah menerusi kerjasama PSM dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) sekali gus tidak lagi bergantung kepada guru sekolah sahaja.
"Sudah sampai masanya kita tukar trend melantik guru sebagai jurulatih pasukan sepak takraw sekolah. Mereka sudah berjawatan tetap tetapi jika bekas pemain diambil secara kontrak dengan ditetapkan KPI (petunjuk prestasi utama) tertentu, pasti mereka berikan komitmen yang lebih jitu.
"Saya pernah membawa pasukan sekolah ke Batam, Indonesia dan mendapati mereka telah melaksanakannya selain mengatur program lima tahun dengan mencari 15 pemain terbaik setiap daerah. Kita pun sudah dikalahkan Indonesia dalam Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (Singapura 2011 dan Putrajaya 2010)," katanya.
Ismail, 58, atau digelar 'Ismail Arab' yang turut mencipta nama dengan Angkatan Tentera Malaysia pada era 80-an, menjelaskan, ada baiknya sekolah sukan negeri di Malaysia dihantar menyertai Sukan Sekolah-sekolah Sukan Thailand yang mempertandingkan kategori bawah 14, 16 dan 18 tahun.
"Kami turut bertanding dengan ditaja Majlis Sukan Johor dan menduduki tempat ketiga bawah 18 dalam temasya melibatkan 17 sekolah sukan Thailand selain sekolah Brunei di Suphanburi, pertengahan tahun lalu," katanya yang membimbing SSTMI sejak 2006.
Jelasnya, PSM juga disaran selalu memantau Kejohanan MSSM (bawah 12, 15, 18 tahun), Sirkit SportExcel (tiga sirkit bawah 16), Grand Prix Piala Menteri Pelajaran (lima sirkit bawah 11, 14 dan 16) dan Sukan Antara Sekolah-sekolah Sukan Negeri yang diadakan setiap tahun.

MSNK hampir calar rekod kebal PSM


ARKIB : 26/12/2011      utusan_malaysia/Sukan - 26/12/2011
0

MSNK hampir calar rekod kebal PSM



Pemain Kelantan, Mohd. Syahfirul Nizam Zainal (hijau) membuat libasan sambil dihadang pemain Selangor, Muhammad Aiman Fouzi pada Pusingan Akhir Liga Siri Super PSM 2011 di MSN, semalam.



KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK) mencalarkan sedikit rekod kebal PSM apabila mencuri satu kemenangan regu biarpun akhirnya menyerah 1-2 kepada skuad elit negara pada hari ketiga Pusingan Akhir Liga Siri Super Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) 2011, semalam.
Regu terakhir pasukan tercorot liga ini (Firdaus Abu Bakar, Fazal Hanafi dan Afendi Mubin) mengejutkan regu negara, Nasiruddin Manjur Ahmad, Norshahruddin Mad Ghani dan Anuar Samsudin 15-12, 8-15, 16-14 di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Sebelum ini PSM yang kebanyakannya dibarisi tonggak berpengalaman skuad Sukan SEA dan Piala Raja Thai tahun ini, kalah salah satu regunya kepada Kelantan (Siri 2 di Kangar, September lalu) dan Terengganu (kelmarin) dengan semuanya melibatkan pemain bawah 21 tahun.
Dua perlawanan regu terdahulu bagaimanapun tetap dikuasai PSM dengan mudah sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju liga sejak merampasnya daripada Selangor pada hari pertama kejohanan berpasukan senior dan bawah 21 tahun kebangsaan ini, Jumaat lalu.
Syazwan Husin, Arif Busu dan Farhan Adam menang 15-10, 15-13 sementara Tunku Noor Azwari Tunku Ishak, Hanafiah Dolah dan Muqlis Borhan memastikan dua mata liga buat PSM dengan kemenangan 15-11, 15-7 dalam kesemua perlawanan selama 85 minit itu.
Kejutan terus melanda juara Piala Emas Khir Johari 2011, Selangor yang ditumpaskan Kelantan 1-2 (15-6, 17-15), (14-16, 17-16, 13-15), (11-15, 12-15) pada sesi pagi sebelum terpaksa bertungkus lumus untuk menjinakkan Johor 2-1 sebelah petangnya.
Namun kekalahan Kelantan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-2, juga petang semalam, membuka semula peluang Selangor untuk kembali dalam persaingan tiga penjuru bagi tempat kedua di samping Terengganu yang mudah menewaskan Perak 3-0.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mengalahkan Kedah 3-0, Persatuan Sepak Takraw Anak-anak Negeri Sembilan (Pestans) menewaskan Perlis 2-1, Kuala Lumpur mengatasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) 3-0 dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menundukkan Pulau Pinang 3-0.

PSM tidak tercabar juara Liga Siri Super 2011




Pemain PSM bersama hadiah kemenangan setelah muncul juara Liga Siri Super Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) 2011 di MSN, Bukit Jalil semalam.


KUALA LUMPUR - Skuad elit negara atau PSM menepati ramalan untuk bergelar juara Liga Siri Super Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) 2011 apabila menamatkan Pusingan Akhir di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil dengan memungut 30 mata keseluruhan.
Mereka mengekalkan teraju liga tanpa kalah sejak merampasnya daripada Selangor, Jumaat lalu selepas melengkapkan jadual baki perlawanan semalam dengan menewaskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada sebelah pagi dan yang terakhir, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0.
Dua mata perlawanan terakhir skuad elit dipastikan oleh Noor Azman Hamid, Norshahruddin Mad Ghani, Faizul Hairy Osman 15-13, 15-10 diikuti Mohamad Fazil Asri, Fadzli Roslan, Muqlis Borhan, 15-13, 15-10 dan Syazwan Husin, Arif Busu, Farhan Adam 15-9, 15-13.
Sebagai juara kejohanan berpasukan senior dan bawah 21 tahun kebangsaan termasuk dua sirkit di Melaka (Jun) dan Kangar (September), anak buah Jamaluddin Hassan beroleh RM20,000 untuk meninggalkan jauh Terengganu yang meraih RM15,000 selaku naib juara dengan 24 mata.
Tempat ketiga dan keempat menjadi milik Kelantan (RM10,000) dan Selangor (RM7,000) yang terikat 24 mata.
Namun mereka dipisahkan dengan perbezaan mata set diperoleh dengan mata set dilepaskan diikuti Kuala Lumpur, ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Sepak Takraw Anak-anak Negeri Sembilan (Pestans).
Kecuali PSM yang digantikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pemenang tempat kesembilan, tujuh pasukan terbaik Liga Siri Super ini akan berentap pada Piala Perdana Menteri bagi Divisyen Satu.
Manakala selebihnya akan cuba ditawarkan beraksi dalam Divisyen Dua, Mac ini selepas dipinda dari Februari.

Sunday 22 January 2012

Mencari wajah elit sepak takraw


Mencari wajah elit sepak takraw



KUALA LUMPUR - Sejauh mana Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengambil iktibar daripada kegagalan Sukan SEA lalu dan akur dengan hasrat Datuk Zolkples Embong untuk cuma bertumpu kepada bakat muda baru, bakal terjawab selepas Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Ismail 2012 dari 21 hingga 24 Januari ini.
Kejohanan merangkap medan pemilihan baru skuad elit, pelapis dan wanita kebangsaan ini juga pasti dinanti-nantikan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu yang sudah hilang kepercayaan kepada tonggak senior sejak September lalu apatah lagi selepas sekadar pulang dengan dua gangsa dari Palembang.
Tiga kategori dipertandingkan (Terbuka, Bawah 21 Tahun dan Wanita) di Kompleks Sukan MSN, Taman Keramat, Kuala Lumpur dengan matlamat jangka panjangnya ialah sebagai persediaan ke Sukan SEA Naypyidaw 2013 dan Sukan Asia Incheon 2014, dua temasya yang sudah lama menyaksikan kemarau emas Malaysia.
Piala Datuk Ahmad Ismail ini juga bakal meluaskan pilihan barisan jurulatih negara, Jamaluddin Hassan, Ahmad Jais Baharun, Prawet Intra dan Tawit Wongkluen yang sempat mengenal pasti sejumlah pemain yang mampu membentuk wajah baru skuad elit dan pelapis 2012 daripada Liga Siri Super PSM di Bukit Jalil, baru-baru ini.
Ketua Seranta PSM, Yusoff Ali dalam kenyataan akhbar di sini semalam berkata, kejohanan antara regu itu menawarkan ganjaran berjumlah RM24,000 dengan yuran kategori Terbuka ialah RM80 manakala cuma RM50 dikenakan bagi dua kategori lain serta dua kelas Veteran (40 hingga 50 tahun dan 51 tahun ke atas).
Juara Terbuka bakal meraih RM3,000, piala dan pingat (maksimum lima pemain, pengurus dan jurulatih); naib juara RM2,000 dan dua regu ketiga bersama, RM1,000 sementara pecahan pemenang bagi Belia dan Wanita serta Veteran ialah masing-masing RM2,000, RM1,000 dan RM500.
“Hanya warganegara Malaysia layak menyertai kejohanan ini sementara masa dan tarikh tutup penyertaan ialah pukul 12 tengah hari Khamis 18 Januari ini dengan majlis undiannya dijalankan pukul 4 petang hari yang sama di kompleks berkenaan,” katanya.
Sementara itu, ganjaran hampir RM5,000 juga menanti pada Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Universiti Putra Malaysia (UPM) 2012 di Pusat Sukan UPM, Serdang dari 28 hingga 29 Januari ini dengan yuran penyertaan dikenakan RM150 sebuah regu (tiga pemain dan dua simpanan).
Mereka yang berminat dan mahukan keterangan lanjut, boleh menghubungi Mohd. Firdaus Abdullah (012-6731616), Norsyahriman Md. Arif (012-3614048), Zyuraidi Majid (019-32224605) dan Mohd. Rizal Hamzah (019-2086264).

Petaling raja libas Sukan Selangor


Petaling raja libas Sukan Selangor



BANGI - Daerah Petaling menguasai dua daripada tiga gelaran acara berpasukan dan beregu sepak takraw Sukan Selangor (Sukses) 2012, sekali gus bakal menjadi penyumbang terbesar skuad Sukan Malaysia XV negeri itu di Pahang, Julai depan.
Malah mereka nyaris melebarkan penguasaan bagi antara regu pada hari terakhir pertandingan di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi jika regu A dan B, tidak disekat Hulu Langat B dan Gombak dalam separuh akhir, kelmarin.
Aksi sengit separuh akhir itu menyaksikan Petaling A ditundukkan Gombak A 1-3, begitu juga Petaling B yang dijinakkan Hulu Langat B 1-3.
Petaling menewaskan Gombak 2-1 (15-8, 15-13), (14-16, 15-11, 13-15) (11-15, 15-12, 15-10) bagi memenangi pingat emas berpasukan yang dijalankan secara liga melibatkan tujuh daerah, Jumaat lalu.
Barisan pemain juara berpasukan Petaling ialah Idham Sulaiman, Shafirul Nizam, Hamli Sadik, Yusyairi Amir Yusuf, Badri Rahman, Amirul Ashraf, Khairol Amirul Rahman, Zainur Rashid Zainuddin dan Shamsul Amri.
Koleksi gelaran mereka bertambah sehari kemudian apabila turut menundukkan Hulu Langat A 3-1 (15-12, 14-16, 15-12, 15-9) dalam perlawanan akhir beregu.
Hulu Langat B bagaimanapun menebus kehampaan rakan beregu mereka apabila dengan mudah mengatasi Gombak A 3-0 (15-11, 15-12, 15-8) pada perlawanan akhir kelmarin untuk menjuarai acara antara regu.
Mereka membariskan pemain seperti Muhammad Asrari Mustaen, Muhammad Syazwan Dahlan, Muhammad Mad Rashid dan Nor Alyani Fahmi Salihen.
Kecuali berpasukan, acara antara regu dan beregu Sukses dijalankan menurut sistem kiraan baru Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) iaitu terbaik daripada lima set.