Tuesday 16 August 2011

Hala Tuju Sepak Takraw Negara


PSM Anjur Seminar Hala Tuju Sepak Takraw Negara

KUALA TERENGGANU, 8 Feb (Bernama) — Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan menganjurkan seminar mengenai hala tuju sepak takraw negara selama dua hari mulai Khamis ini di dewan Komanwel Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail berkata seminar bertajuk Percambahan Minda PSM itu bertujuan untuk membincangkan kelemahan-kelemahan yang ada dalam sukan sepak takraw di negara ini dan mencadangkan penyelesaiannya.
“Harapan kita mereka yang datang boleh menyumbangkan pemikiran atau memberi idea bernas untuk hala tuju sepak takraw negara pada masa depan,” katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.
Ahmad berkata seminar itu akan dihadiri semua ahli majlis tertinggi PSM, pengerusi pengadil, ahli gabungan PSM dan pengerusi kejurulatihan.
Katanya PSM juga mengundang golongan veteran dalam sukan itu seperti bekas pengurusan PSM yang lalu, bekas jurulatih dan pemain untuk sama-sama memberikan idea untuk memulihkan sukan sepak takraw negara.
Beliau berkata sebanyak tiga kertas kerja akan dibentangkan pada seminar itu iaitu bertajuk “Sains Perubatan dan Teknologi Ke Arah Kecemerlangan Sukan Sepak Takraw Negara” oleh Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah Institut Sukan Negara.
Dua lagi kertas kerja dibentangkan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim bertajuk “Sejarah: Dulu, Kini dan Masa Depan Sukan Sepak Takraw Negara” dan pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Prof Madya Zulkifli Abdul Kadir bertajuk “Sepak Takraw – Ke Arah Menjana Perancangan Dan Latihan Yang Efisien serta Memantapkan Sains dan Seni Kejurulatihan”.
Ahmad berkata pada hari Jumaat pula, PSM akan mengadakan majlis pelancaran Istaf World Cup 2011 oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Katanya semua pemimpin utama Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) seperti Presidennya Jeneral Charouk Arirachkaran, Setiausahanya Poonchai Lorphiphat dan Presiden Persekutuan Sepakt Takraw Asia (Astaf) Abdul Halim Kadir dijadual hadir pada majlis itu.
– BERNAMA

No comments:

Post a Comment