Monday 12 September 2011

Siri Super Istaf undang tanda tanya


Siri Super Istaf undang tanda tanya


Skuad sepak takraw lelaki kebangsaan menjalani latihan terakhir menjelang saingan Siri Super 1 dan Piala Raja Thai di Bangkok, bulan ini.


KUALA LUMPUR - Sejak berakhirnya Piala Dunia Istaf Pertama Julai lalu, tiada berita yang dikemaskini dalam laman web sepaktakraw.org apatah lagi dengan menjelangnya Siri Super I di Bangkok mulai esok hingga Ahad ini.
Malah, makluman asas undian kumpulan Siri Super I melibatkan 12 pasukan terbaik lelaki dan lapan terbaik wanita daripada Piala Dunia lalu mahupun jadual perlawanan, belum mampu disediakan.
Ketiadaan makluman jelas Siri Super itu turut membingungkan skuad elit negara seramai 12 pemain yang bakal berlepas secara beransur-ansur ke ibu kota Thailand itu mulai pagi ini bagi turut beraksi dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-26 di gelanggang sama dari 12 hingga 17 September.
"Sehingga kini dengan siapa pasukan kita diundi dan duduk kumpulan mana pun, belum dapat dipastikan. Mungkin (hanya diketahui) dalam mesyuarat pengurus pasukan (petang esok)," kata ketua jurulatih negara, Jamaluddin Hassan pada sesi latihan di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam.
Namun, jika menurut beberapa risalah lama Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Siri Super I kategori lelaki bakal dibahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap satu dianggotai enam negara sementara empat negara masing-masing membentuk dua kumpulan kategori wanita.
Selain juara dunia, Thailand dan naib juara Malaysia, Siri Super I (antara regu) turut disertai Myanmar, Singapura, Korea Selatan, Indonesia, India, Filipina, Brunei, Laos, Amerika Syarikat dan Jepun manakala wanita kita berdepan tuan rumah yang juga juara dunia; Vietnam, China, India, Myanmar, Korea Selatan dan Kemboja.
Ganjaran berjumlah AS$100,000 (RM300,000) ditawarkan bagi Siri Super yang meliputi tiga lagi pusingan di Kuala Terengganu (Disember), Vietnam (wanita, Februari 2012), Iran (lelaki, April 2012) dan pusingan kemuncak (China, Jun 2012).

No comments:

Post a Comment