Monday 5 September 2011

Bintang Faizul kian cerah dipilih ke Bangkok



KUALA LUMPUR - Tuah tampak semakin menyebelahi Muhammad Faizul Hairy Osman apabila apit kiri skuad elit sepak takraw ini diberi kepercayaan untuk turut menggalas cabaran acara beregu dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-26, bulan depan.
Kontang (gelarannya) yang sebelum ini disenaraikan sebagai pengumpan tunggal regu Siri Super I di Bangkok dari 8 hingga 11 September ini, dijangka bergandingan dengan salah seorang pelibas, Mohamad Arif Busu atau Fadzli Roslan.
Faizul mengetepikan pengumpan regu Piala Dunia, Farhan Adam untuk menyertai Syazwan Husin, Noor Azman Hamid (tekong) dan pelibas, Norshahruddin Mad Ghani dan Fadzli ke Siri Super yang disusuli Piala Raja Thai dari 12 hingga 17 September.
Ketua jurulatih negara, Jamaluddin Hassan berkata kepada Utusan Malaysia, Muhammad Faizul Hairy memikat atas pengalamannya membantu Malaysia muncul naib juara acara beregu Piala Raja Thai di Chiang Mai, tahun lalu.
Ketika itu Faizul-Fadzli turut disertai pelibas Kedah, Syamsul Ashraf Roslee mencipta kejutan dengan mengetepikan beregu pilihan kejohanan seperti Myanmar dan Korea Selatan sebelum terpaksa akur kepada tuan rumah.
"Dalam sesi latihan di Bukit Jalil dan Pulau Pinang baru-baru ini, saya sudah mencuba gandingan Faizul-Arif dan Faizul-Fadzli kerana mereka bertiga memiliki pengalaman di peringkat antarabangsa dan tidak sukar untuk menemui keserasian permainan.
"Agak malang kerana kami terpaksa melupakan khidmat pengumpan, Syazreen Qamar Salehan yang menghadapi masalah keluarga dan perlu meneruskan pengajian. Dia juga sudah teruji dalam satu kejohanan dan muncul juara di China, Jun lalu," katanya.
Ditanya sama ada ia bakal membebankan atau mengganggu tumpuan Faizul ke Siri Super (persaingan 12 pasukan terbaik Piala Dunia dalam empat sirkit sehingga tahun depan) kata Jamaluddin, ia bukan satu masalah besar kerana tarikh pertandingan juga berasingan.
"Latihan beregu, bakal memantapkan kawalan gelanggang dan kemahiran serta kecergasan seseorang pemain," katanya yang bagaimanapun meramalkan Malaysia tidak akan menyertai acara dua lawan dua itu dalam Sukan SEA Indonesia, November ini.

No comments:

Post a Comment