Monday 19 September 2011

Adakan Divisyen Perdana


Adakan Divisyen Perdana


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada juara zon tengah, MBMB A di Paroi, semalam. Turut kelihatan Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali.


SEREMBAN - Bekas penolong jurulatih skuad elit negara, Zaidi Ismail menyarankan Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan pada edisi akan datang dapat mempertandingkan satu lagi kategori yang khas untuk pemain bertaraf kebangsaan atau negeri sahaja atau digelar Divisyen Perdana.
Katanya, kategori baru ini bertujuan menampilkan suatu kualiti permainan yang sesuai dan tinggi dengan mereka selain menjamin persaingan yang seimbang serta tidak perlu melibatkan pemain yang di luar taraf berkenaan.
"Mungkin KFC-Utusan boleh mewujudkan Divisyen Perdana seperti mana Piala Raja Thai supaya pasukan yang kurang handal tidak akan bertembung dan dibelasah lawan lebih handal dengan mudah dan perbezaan mata yang terlalu besar.
"Jika mudah sangat kalah, pasukan ini mungkin patah semangat untuk lebih awal untuk ke gelanggang dan seterusnya menjauhkan diri daripada bertanding lagi," katanya yang mengemudikan UiTM C menjuarai kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam-Swasta/Bawah 19 Tahun Zon Tengah di Paroi, Seremban, semalam.
Menurut Zaidi yang khidmatnya dengan skuad elit tidak disambung selepas Sukan SEA Laos 2009: "Syarat hanya seorang pemain negeri dalam kategori Terbuka KFC-Utusan kali ini wajar diteruskan tetapi hendaklah hanya mengambil kira mereka yang berpengalaman Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari.
"Antara kejohanan yang boleh dikecualikan daripada mengambil kira status pemain negeri atau negara ialah Kejohanan Maksak, Sukan Malaysia, Kejohanan Belia Kebangsaan mahupun Siri Super PSM (Persatuan Sepak Takraw Malaysia) sekarang."
Pendapat ini turut disokong oleh pengulas sukan Astro Arena 801 yang juga penasihat kejurulatihan pasukan Jepun, Mahadzer Mokhtar dengan menegaskan, mereka yang bakal bermain dalam Divisyen Perdana KFC-Utusan itu, mestilah dilarang daripada turun ke kategori lebih bawah daripadanya tetapi mereka yang di bawah, dialu-alukan untuk turut mencuba nasib ke Divisyen Perdana.
"Divisyen yang di bawah Perdana ini mestilah terdiri daripada pemain yang benar-benar amatur dan bakat baru," katanya yang pernah membimbing Jepun berlatih di Pulau Pinang selama sebulan dalam menghadapi Sukan Asia Doha 2006 dan mengadakan jelajah pertunjukan di Brazil, sebelumnya.
Sementara itu, beliau turut menggesa PSM agar mengambil kesempatan daripada kehadiran dua kategori IPTA/Bawah 19 dan Bawah 15 KFC-Utusan di empat zon (Selatan, Utara, Timur dan Tengah) sejak Jun lalu dengan mencungkil ramai bakat baru bagi membentuk skuad pelapis kebangsaan.
"Saya rasa ia bertepatan dengan saranan Datuk Zolkples Embong (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara), baru-baru ini dengan menugaskan dua perunding dari Thailand yang kini bersama skuad elit (Prawet Intar dan Taweet Wongkaen) mengenal pasti bakat baru berkenaan, mungkin dalam persaingan peringkat Antara Zon di Shah Alam (14 hingga 15 Oktober ini)," katanya.

No comments:

Post a Comment