Monday 12 September 2011

Sikap pemurah PSM makan diri


Sikap pemurah PSM makan diri




aksi pelibas Thailand, Anuwat Chaichana ketika menentang Indonesia pada Kejohanan Piala Dunia ISTAF di Kuala Lumpur Julai lalu. Thailand mengatasi Indonesia dan menjuarai Siri Super I Istaf 2011-12 di Fashion Island, Bangkok, semalam.


KUALA LUMPUR - Kemurahan hati Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) membenarkan Indonesia mengadakan lawatan dan persahabatan di negara ini wajar dikaji jika merujuk kekalahan skuad elit dalam suku akhir Siri Super I di Bangkok, kelmarin.
PSM membuka pintu kepada skuad negara jiran itu iaitu ketika Piala Dunia Pertama Julai lalu dan terbaru dalam siri perlawanan ujian enam penjuru di Pulau Pinang dari 17 hingga 21 Ogos lalu yang akhirnya 'memakan diri' anak buah Ahmad Jais Baharun.
Apabila PSM ditegur kerana membenarkan sebuah pasukan sekolah tinggi Korea Selatan ke Pulau Pinang, ada pegawai kanannya yang marah dan membela diri.
Namun, bagaimana dengan peningkatan pasukan senior mereka yang mencemaskan skuad elit sebelum kalah 3-2 pada peringkat Kumpulan B?
Kelmarin, regu negara iaitu tekong Noor Azman Hamid (Syazwan Husin), pelibas Norshahruddin Mad Ghani dan pengumpan Faizul Hairy Osman tewas 2-3 (10-15, 15-12, 16-17, 15-7, 12-15) kepada Indonesia.
Pemangku ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun berkata: "Menentang Indonesia mengajar kita jangan memandang mudah mana-mana lawan walaupun mendahului jauh (seperti set ketiga kelmarin). Selagi belum mencapai mata ke-15 atau penamat (jika terheret dius), mereka kena sentiasa fokus.
"Saya akur dengan kekalahan 'malapetaka' ini dan saya serta Prawet (Intar, perunding dari Thailand) memikul tanggungjawab di atasnya di samping seluruh pemain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Thailand menjuarai kategori lelaki dan wanita setelah menewaskan Indonesia 15-6, 15-6, 15-6 dan Korea Selatan 15-7, 15-10. 15-7 dalam perlawanan akhir di Pusat Beli-belah Fashion Island, Bangkok, semalam.

No comments:

Post a Comment