Monday 19 September 2011

Pestans pecah rekod GPMS


Pestans pecah rekod GPMS




Pasukan Pestans (jersi hitam) akan menghantar sebanyak 32 regu yang akan mengambil bahagian pada Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan bagi saingan zon tengah di Seremban, esok.


KUALA LUMPUR – Trend mempertaruhkan lebih banyak regu bagi mencerahkan peluang juara di zon utara ditiru pula oleh Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) yang memperbaharui rekod penyertaan Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 Zon Tengah, Sabtu ini.
Jika Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mempertaruhkan 12 regu sehingga salah satunya berjaya menjuarai kategori Terbuka di Alor Setar, Pestans pula menampilkan kontinjen terbesar yang mengandungi 32 regu meliputi ketiga-tiga kategori kali ini.
Sebanyak 15 regu Pestans dipertaruhkan dalam Terbuka, 10 bagi Institusi Pengajian Tinggi Awam-Swasta (IPTA-S)/Bawah 19 Tahun dan tujuh untuk Bawah 15 Tahun sekali gus bakal menjadi perhatian utama penggemar sepak takraw di Kompleks Sukan Negeri, Paroi, Seremban.
Timbalan Presiden Pestans, Zamry Fareed Moh Norden berkata, mereka menggunakan khidmat semua pemain tempatan yang datang dan menjalani pemilihan dari Nilai hingga Tampin tetapi menggabungkan mereka dalam sesebuah regu tanpa mengikut tempat asal masing-masing.
“Kami menampilkan pasukan terbesar atas status tuan rumah dan minat Presiden Pestans,” katanya mengulas aksi zon tengah Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan melibatkan 172 regu demi memburu ganjaran berjumlah RM10,500 dan empat tempat teratas setiap kategori ke separuh akhir di Shah Alam, bulan depan.
Tambah menarik, menurut Zamry Fareed ialah Pestans bakal diperkuatkan dengan kehadiran bekas apit kiri skuad elit, Syazreen Qamar Salehan dan bekas pemain kebangsaan era 90-an, Khairulnizam Jidin selain mendapat khidmat nasihat dan tunjuk ajar bekas jurulatih skuad Sukan SEA 2001, Mahat Adnan.
Pestans muncul juara Zon Selatan di Pasir Gudang, Johor dengan menewaskan PKNS A 2-0 namun hasrat mereka menggandakan gelaran dan ganjaran kejohanan di Zon Timur, Julai lalu disekat Gastep 1-2 pada perlawanan akhir di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang, Gambang, Kuantan.
Pestans A di Pasir Gudang diperkuatkan oleh bekas tekong juara Sukan SEA Filipina 2005, Normanizam Ahmad sejajar syarat pertandingan Kejohanan KFC-Utusan Kedua yang mengehadkan seorang pemain bertaraf negeri dan kebangsaan dalam sesebuah regu peserta.

No comments:

Post a Comment