Monday 23 January 2012

PSM tidak tercabar juara Liga Siri Super 2011




Pemain PSM bersama hadiah kemenangan setelah muncul juara Liga Siri Super Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) 2011 di MSN, Bukit Jalil semalam.


KUALA LUMPUR - Skuad elit negara atau PSM menepati ramalan untuk bergelar juara Liga Siri Super Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) 2011 apabila menamatkan Pusingan Akhir di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil dengan memungut 30 mata keseluruhan.
Mereka mengekalkan teraju liga tanpa kalah sejak merampasnya daripada Selangor, Jumaat lalu selepas melengkapkan jadual baki perlawanan semalam dengan menewaskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada sebelah pagi dan yang terakhir, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0.
Dua mata perlawanan terakhir skuad elit dipastikan oleh Noor Azman Hamid, Norshahruddin Mad Ghani, Faizul Hairy Osman 15-13, 15-10 diikuti Mohamad Fazil Asri, Fadzli Roslan, Muqlis Borhan, 15-13, 15-10 dan Syazwan Husin, Arif Busu, Farhan Adam 15-9, 15-13.
Sebagai juara kejohanan berpasukan senior dan bawah 21 tahun kebangsaan termasuk dua sirkit di Melaka (Jun) dan Kangar (September), anak buah Jamaluddin Hassan beroleh RM20,000 untuk meninggalkan jauh Terengganu yang meraih RM15,000 selaku naib juara dengan 24 mata.
Tempat ketiga dan keempat menjadi milik Kelantan (RM10,000) dan Selangor (RM7,000) yang terikat 24 mata.
Namun mereka dipisahkan dengan perbezaan mata set diperoleh dengan mata set dilepaskan diikuti Kuala Lumpur, ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Sepak Takraw Anak-anak Negeri Sembilan (Pestans).
Kecuali PSM yang digantikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pemenang tempat kesembilan, tujuh pasukan terbaik Liga Siri Super ini akan berentap pada Piala Perdana Menteri bagi Divisyen Satu.
Manakala selebihnya akan cuba ditawarkan beraksi dalam Divisyen Dua, Mac ini selepas dipinda dari Februari.

No comments:

Post a Comment