Monday 23 January 2012

MSNK hampir calar rekod kebal PSM


ARKIB : 26/12/2011      utusan_malaysia/Sukan - 26/12/2011
0

MSNK hampir calar rekod kebal PSM



Pemain Kelantan, Mohd. Syahfirul Nizam Zainal (hijau) membuat libasan sambil dihadang pemain Selangor, Muhammad Aiman Fouzi pada Pusingan Akhir Liga Siri Super PSM 2011 di MSN, semalam.



KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK) mencalarkan sedikit rekod kebal PSM apabila mencuri satu kemenangan regu biarpun akhirnya menyerah 1-2 kepada skuad elit negara pada hari ketiga Pusingan Akhir Liga Siri Super Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) 2011, semalam.
Regu terakhir pasukan tercorot liga ini (Firdaus Abu Bakar, Fazal Hanafi dan Afendi Mubin) mengejutkan regu negara, Nasiruddin Manjur Ahmad, Norshahruddin Mad Ghani dan Anuar Samsudin 15-12, 8-15, 16-14 di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Sebelum ini PSM yang kebanyakannya dibarisi tonggak berpengalaman skuad Sukan SEA dan Piala Raja Thai tahun ini, kalah salah satu regunya kepada Kelantan (Siri 2 di Kangar, September lalu) dan Terengganu (kelmarin) dengan semuanya melibatkan pemain bawah 21 tahun.
Dua perlawanan regu terdahulu bagaimanapun tetap dikuasai PSM dengan mudah sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju liga sejak merampasnya daripada Selangor pada hari pertama kejohanan berpasukan senior dan bawah 21 tahun kebangsaan ini, Jumaat lalu.
Syazwan Husin, Arif Busu dan Farhan Adam menang 15-10, 15-13 sementara Tunku Noor Azwari Tunku Ishak, Hanafiah Dolah dan Muqlis Borhan memastikan dua mata liga buat PSM dengan kemenangan 15-11, 15-7 dalam kesemua perlawanan selama 85 minit itu.
Kejutan terus melanda juara Piala Emas Khir Johari 2011, Selangor yang ditumpaskan Kelantan 1-2 (15-6, 17-15), (14-16, 17-16, 13-15), (11-15, 12-15) pada sesi pagi sebelum terpaksa bertungkus lumus untuk menjinakkan Johor 2-1 sebelah petangnya.
Namun kekalahan Kelantan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-2, juga petang semalam, membuka semula peluang Selangor untuk kembali dalam persaingan tiga penjuru bagi tempat kedua di samping Terengganu yang mudah menewaskan Perak 3-0.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mengalahkan Kedah 3-0, Persatuan Sepak Takraw Anak-anak Negeri Sembilan (Pestans) menewaskan Perlis 2-1, Kuala Lumpur mengatasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) 3-0 dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menundukkan Pulau Pinang 3-0.

No comments:

Post a Comment