Sunday 22 January 2012

Mencari wajah elit sepak takraw


Mencari wajah elit sepak takraw



KUALA LUMPUR - Sejauh mana Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengambil iktibar daripada kegagalan Sukan SEA lalu dan akur dengan hasrat Datuk Zolkples Embong untuk cuma bertumpu kepada bakat muda baru, bakal terjawab selepas Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Ismail 2012 dari 21 hingga 24 Januari ini.
Kejohanan merangkap medan pemilihan baru skuad elit, pelapis dan wanita kebangsaan ini juga pasti dinanti-nantikan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu yang sudah hilang kepercayaan kepada tonggak senior sejak September lalu apatah lagi selepas sekadar pulang dengan dua gangsa dari Palembang.
Tiga kategori dipertandingkan (Terbuka, Bawah 21 Tahun dan Wanita) di Kompleks Sukan MSN, Taman Keramat, Kuala Lumpur dengan matlamat jangka panjangnya ialah sebagai persediaan ke Sukan SEA Naypyidaw 2013 dan Sukan Asia Incheon 2014, dua temasya yang sudah lama menyaksikan kemarau emas Malaysia.
Piala Datuk Ahmad Ismail ini juga bakal meluaskan pilihan barisan jurulatih negara, Jamaluddin Hassan, Ahmad Jais Baharun, Prawet Intra dan Tawit Wongkluen yang sempat mengenal pasti sejumlah pemain yang mampu membentuk wajah baru skuad elit dan pelapis 2012 daripada Liga Siri Super PSM di Bukit Jalil, baru-baru ini.
Ketua Seranta PSM, Yusoff Ali dalam kenyataan akhbar di sini semalam berkata, kejohanan antara regu itu menawarkan ganjaran berjumlah RM24,000 dengan yuran kategori Terbuka ialah RM80 manakala cuma RM50 dikenakan bagi dua kategori lain serta dua kelas Veteran (40 hingga 50 tahun dan 51 tahun ke atas).
Juara Terbuka bakal meraih RM3,000, piala dan pingat (maksimum lima pemain, pengurus dan jurulatih); naib juara RM2,000 dan dua regu ketiga bersama, RM1,000 sementara pecahan pemenang bagi Belia dan Wanita serta Veteran ialah masing-masing RM2,000, RM1,000 dan RM500.
“Hanya warganegara Malaysia layak menyertai kejohanan ini sementara masa dan tarikh tutup penyertaan ialah pukul 12 tengah hari Khamis 18 Januari ini dengan majlis undiannya dijalankan pukul 4 petang hari yang sama di kompleks berkenaan,” katanya.
Sementara itu, ganjaran hampir RM5,000 juga menanti pada Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Universiti Putra Malaysia (UPM) 2012 di Pusat Sukan UPM, Serdang dari 28 hingga 29 Januari ini dengan yuran penyertaan dikenakan RM150 sebuah regu (tiga pemain dan dua simpanan).
Mereka yang berminat dan mahukan keterangan lanjut, boleh menghubungi Mohd. Firdaus Abdullah (012-6731616), Norsyahriman Md. Arif (012-3614048), Zyuraidi Majid (019-32224605) dan Mohd. Rizal Hamzah (019-2086264).

No comments:

Post a Comment