Sunday 22 January 2012

Petaling raja libas Sukan Selangor


Petaling raja libas Sukan Selangor



BANGI - Daerah Petaling menguasai dua daripada tiga gelaran acara berpasukan dan beregu sepak takraw Sukan Selangor (Sukses) 2012, sekali gus bakal menjadi penyumbang terbesar skuad Sukan Malaysia XV negeri itu di Pahang, Julai depan.
Malah mereka nyaris melebarkan penguasaan bagi antara regu pada hari terakhir pertandingan di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi jika regu A dan B, tidak disekat Hulu Langat B dan Gombak dalam separuh akhir, kelmarin.
Aksi sengit separuh akhir itu menyaksikan Petaling A ditundukkan Gombak A 1-3, begitu juga Petaling B yang dijinakkan Hulu Langat B 1-3.
Petaling menewaskan Gombak 2-1 (15-8, 15-13), (14-16, 15-11, 13-15) (11-15, 15-12, 15-10) bagi memenangi pingat emas berpasukan yang dijalankan secara liga melibatkan tujuh daerah, Jumaat lalu.
Barisan pemain juara berpasukan Petaling ialah Idham Sulaiman, Shafirul Nizam, Hamli Sadik, Yusyairi Amir Yusuf, Badri Rahman, Amirul Ashraf, Khairol Amirul Rahman, Zainur Rashid Zainuddin dan Shamsul Amri.
Koleksi gelaran mereka bertambah sehari kemudian apabila turut menundukkan Hulu Langat A 3-1 (15-12, 14-16, 15-12, 15-9) dalam perlawanan akhir beregu.
Hulu Langat B bagaimanapun menebus kehampaan rakan beregu mereka apabila dengan mudah mengatasi Gombak A 3-0 (15-11, 15-12, 15-8) pada perlawanan akhir kelmarin untuk menjuarai acara antara regu.
Mereka membariskan pemain seperti Muhammad Asrari Mustaen, Muhammad Syazwan Dahlan, Muhammad Mad Rashid dan Nor Alyani Fahmi Salihen.
Kecuali berpasukan, acara antara regu dan beregu Sukses dijalankan menurut sistem kiraan baru Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) iaitu terbaik daripada lima set.

No comments:

Post a Comment