ARKIB : 04/11/2008 Utusan |Malaysia
Tiga sebab regu Malaysia kalah
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Jurulatih negara, Haris Abdul Rahman mempunyai alasan
kukuh mengapa anak buahnya terus kecundang walaupun hanya kepada sebuah
regu kelab wilayah yang mewakili Thailand dalam perlawanan akhir
Kejohanan Sepak Takraw Jemputan Antarabangsa Pasir Gudang, kelmarin.
Taraf lawan yang lebih baik daripada skuad negaranya, ketiadaan
pelibas yang sepatutnya - Hamikhairi Roslan dan Taufik Saad serta
tekanan kali pertama berdepan ribuan penonton sendiri dijadikan punca
tersungkur 0-2 (13-21, 16-21) di Atrium Kompleks Pusat Bandar Pasir
Gudang, Johor.
"Walaupun bukan pasukan kebangsaan, pemain lawan berkemahiran tinggi
dan memang lebih bagus malah hanya sekali libasan mereka yang terkandas
jika dibandingkan dengan skuad Piala Raja Thai," katanya yang turut
menerajui skuad negara ketika kalah pada perlawanan akhir berpasukan dan
beregu kejohanan di Bangkok itu, Ogos lalu.
Kata Haris, skuad negara juga turun ke Pasir Gudang tanpa Hamikhairi
yang tidak mendapat pelepasan majikannya sedangkan pelibas itu yang
lebih serasi bergandingan dengan tekong Malaysia A kelmarin, Syazwan
Hussin dan pengumpan, Syafiq Rahman.
"Ketika kami mahu menggantikannya dengan Taufik, dia pula perlu
menghadiri satu temu duga kerja lalu terpaksalah kami turunkan
Khairuddin Adenan yang kurang berpengalaman dalam menangani situasi
genting dan tekanan penonton yang hampir 3,000 orang itu walaupun
libasannya tetap bagus," katanya kepada
Utusan Malaysia, semalam.
Thailand yang turut mengaut RM3,500, cuma menurunkan pemain kurang
dikenali seperti Trairong Liyarat, Rangsirod Sirisamutsan dan Suwiwat
Kalyasari serta bekas tekong pemenang perak Sukan Asia Hiroshima 1994,
Narong Chaikeawnopparat selaku simpanan.
Regu negara sekadar
membawa pulang RM2,500 selaku naib juara manakala Malaysia B (Sulaiman
Salleh, Arif Busu dan Fadlansyah Barahim) yang dikalahkannya dalam
separuh akhir 1-2 (17-21, 22-20, 15-10) meraih sagu hati RM1,500
bersama-sama Indonesia 'A'.
Dilatih oleh bekas pengurus pasukan di Hiroshima Udom Supaweera, regu
Thailand itu turut membenam Malaysia B 2-0 (21-6, 22-20) dalam
perlawanan peringkat awal, kelmarin sekali gus menuntut Haris dan
penolongnya melancarkan tindakan drastik sama ada dalam program latihan
mahupun gandingan pemain negara selepas ini.
Turut menguatkan desakan itu ialah ekoran gagalnya dua lagi regu
negara dalam kategori antara Kelab Kebangsaan di mana kejuaraannya
menjadi milik regu PKINK yang turut membariskan bekas tekong juara Sukan
SEA Filipina 2005, Normanizam Ahmad dengan menewaskan Angkatan Tentera A
21-14, 20-22, 15-11.
Selepas ini Malaysia yang membariskan Syazwan, Khairuddin, Arif,
Fadlansyah dan Ahmad Sufi Hashim, akan menyertai Kejohanan Jemputan
Antarabangsa Nanning, China dari Jumaat ini hingga 10 November di
samping skuad wanita (Siti Norzubaidah Che Wahab, Nurrashidah Rashid,
Siti Norhalimi Hussain, Lawi Sanggat dan Noor Fairuz Azizan.
Sepanjang tahun ini skuad negara cuma mara ke suku akhir dan separuh
akhir Piala Datuk Bandar Hatyai, Februari lalu dan muncul naib juara
berpasukan dan beregu Piala Raja Thai di Bangkok manakala tugasan
antarabangsa terakhirnya ialah Kejohanan Antarabangsa Hanoi dari 22
hingga 28 Disember ini.