Wednesday 21 September 2011

Tertarik Dengan Cara Jepun Mempromosikan Sepaktakraw


 

Sukan sepaktakraw bukan lagi sesuatu yang baru di Jepun dan ianya sudah membiak begitu cepat di sana. Sekiranya anda tonton sebuah dokumentari sepaktakraw Jepun di Youtube pasti anda akan berasa sedih dengan pelbagai kekurangan dari segi latihan, padang & kewangan. Cintanya mereka kepada sukan ini amat dalam dengan segala kos ditanggung oleh individu. Tetapi ianya 6 tahun yang lalu.
Rakyat Jepun ditanamkan semangat untuk cintakan sepaktakraw melalui pelbagai acara & kejohanan dalaman. Sekarang Jepun adalah negara yang setaraf Malaysia bahkan kedudukan mereka pada Piala ISTAF Super Series 2011 mengatasi Malaysia.
Antara Kejohanan Promosi mereka adalah [Kick - JUST FLY HIGH]. Kejohanan ini pernah disertai oleh Malaysia. Mereka akan videokan kejohanan ini dalam bentuk DVD yang sangat menarik & kreatif. Sesiapa sahaja yang menonton pasti akan teruja. Untuk maklumat lanjut anda boleh ke laman web mereka iaitu Kelu.jp
Tahniah untuk Jepun. Sepaktakraw bukan sekadar sukan tetapi ianya lebih kepada membina rasa hormat, setia kawan & kerjasama antara satu sama lain.
Tidak kah anda perasan negara yang mengamalkan sikap & budaya hormat menghormati akan cemerlang dalam sukan ini.
Seperti Malaysia ianya sudah luntur rasa hormat pemain kepada jurulatih, kepada yang tua bahkan antara satu sama lain.

Malaysia Kekal di Nombor 2 Pada Kedudukan ISTAF



Tulisan asal oleh Abdul Hafiz Ahmad (Utusan)
KUALA LUMPUR – Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) wajar menghela nafas lega apabila dua kekalahan ‘malapetaka’ kepada Indonesia dalam Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thai Ke-26, minggu lalu, tidak menjejaskan ranking dunia terbaru skuad elit negara.
Anak buah Jamaluddin Hassan tetap berada pada tangga kedua dalam senarai Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan UFA Sports, biarpun dibenam Indonesia 2-1 dan 3-0 pada akhir acara berpasukan dan Kumpulan B beregu di Pusat Beli-belah Fashion Island, Bangkok.
Memandangkan Malaysia mungkin tidak menyertai acara beregu pada Sukan SEA Indonesia, November ini, kekalahan tersebut tidak sepahit kekalahan berpasukan yang berulang seperti ketika Piala Raja Thai di Chiang Mai, tahun lalu apabila disekat Korea Selatan 1-2 juga pada separuh akhir.
Mujurlah ranking berkenaan hanya mengambil kira keputusan Siri Super I Istaf Thailand juga di gelanggang sama yang menyaksikan Noor Azman Hamid (Syazwan Husin), Norshahruddin Mad Ghani dan Faizul Hairy Osman dihampakan Indonesia 3-2 (10-15, 15-12, 16-17, 15-7, 12-15) dalam suku akhir, 10 September lalu.
Malaysia mengumpul 525 mata selepas turut bergelar naib juara Piala Dunia di Kuala Lumpur, Julai lalu, di belakang musuh tradisi yang juga juara dunia dan Siri Super I, Thailand (750 mata).
Indonesia mengekori pada tempat ketiga dengan 475 mata dan naik dari tangga keenam.

Monday 19 September 2011

Adakan Divisyen Perdana


Adakan Divisyen Perdana


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada juara zon tengah, MBMB A di Paroi, semalam. Turut kelihatan Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali.


SEREMBAN - Bekas penolong jurulatih skuad elit negara, Zaidi Ismail menyarankan Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan pada edisi akan datang dapat mempertandingkan satu lagi kategori yang khas untuk pemain bertaraf kebangsaan atau negeri sahaja atau digelar Divisyen Perdana.
Katanya, kategori baru ini bertujuan menampilkan suatu kualiti permainan yang sesuai dan tinggi dengan mereka selain menjamin persaingan yang seimbang serta tidak perlu melibatkan pemain yang di luar taraf berkenaan.
"Mungkin KFC-Utusan boleh mewujudkan Divisyen Perdana seperti mana Piala Raja Thai supaya pasukan yang kurang handal tidak akan bertembung dan dibelasah lawan lebih handal dengan mudah dan perbezaan mata yang terlalu besar.
"Jika mudah sangat kalah, pasukan ini mungkin patah semangat untuk lebih awal untuk ke gelanggang dan seterusnya menjauhkan diri daripada bertanding lagi," katanya yang mengemudikan UiTM C menjuarai kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam-Swasta/Bawah 19 Tahun Zon Tengah di Paroi, Seremban, semalam.
Menurut Zaidi yang khidmatnya dengan skuad elit tidak disambung selepas Sukan SEA Laos 2009: "Syarat hanya seorang pemain negeri dalam kategori Terbuka KFC-Utusan kali ini wajar diteruskan tetapi hendaklah hanya mengambil kira mereka yang berpengalaman Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari.
"Antara kejohanan yang boleh dikecualikan daripada mengambil kira status pemain negeri atau negara ialah Kejohanan Maksak, Sukan Malaysia, Kejohanan Belia Kebangsaan mahupun Siri Super PSM (Persatuan Sepak Takraw Malaysia) sekarang."
Pendapat ini turut disokong oleh pengulas sukan Astro Arena 801 yang juga penasihat kejurulatihan pasukan Jepun, Mahadzer Mokhtar dengan menegaskan, mereka yang bakal bermain dalam Divisyen Perdana KFC-Utusan itu, mestilah dilarang daripada turun ke kategori lebih bawah daripadanya tetapi mereka yang di bawah, dialu-alukan untuk turut mencuba nasib ke Divisyen Perdana.
"Divisyen yang di bawah Perdana ini mestilah terdiri daripada pemain yang benar-benar amatur dan bakat baru," katanya yang pernah membimbing Jepun berlatih di Pulau Pinang selama sebulan dalam menghadapi Sukan Asia Doha 2006 dan mengadakan jelajah pertunjukan di Brazil, sebelumnya.
Sementara itu, beliau turut menggesa PSM agar mengambil kesempatan daripada kehadiran dua kategori IPTA/Bawah 19 dan Bawah 15 KFC-Utusan di empat zon (Selatan, Utara, Timur dan Tengah) sejak Jun lalu dengan mencungkil ramai bakat baru bagi membentuk skuad pelapis kebangsaan.
"Saya rasa ia bertepatan dengan saranan Datuk Zolkples Embong (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara), baru-baru ini dengan menugaskan dua perunding dari Thailand yang kini bersama skuad elit (Prawet Intar dan Taweet Wongkaen) mengenal pasti bakat baru berkenaan, mungkin dalam persaingan peringkat Antara Zon di Shah Alam (14 hingga 15 Oktober ini)," katanya.

Majlis Bandaraya Melaka A juara


Majlis Bandaraya Melaka A juara




Apit kanan MBMB A, Saiful Bakhtiar Sulaiman melibas bola takraw sambil dihalang pemain lawan Dinamis, Mohd. Ab Paisan Berahim pada perlawanan akhir kategori terbuka lelaki Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 zon tengah di Kompleks Sukan Negeri dekat Paroi, semalam. MBMB A muncul juara. - UTUSAN/Mohd Farizwan Hasbullah


SEREMBAN - Ketahanan mental dan pengalaman Majlis Bandaraya Melaka (MBMB) A memisahkan mereka sebagai juara zon tengah Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 dengan menewaskan Dinamis 2-0 (15-13, 15-11) pada perlawanan akhir di Kompleks Sukan Negeri dekat Paroi, semalam.
Kejayaan yang diukir dalam tempoh 50 minit itu meletakkan MBMB A mengetuai empat regu terbaik zon ini ke peringkat antara zon di Shah Alam, bulan depan sambil merangkul ganjaran RM2,500 sementara Dinamis sekadar berpuas hati dengan RM2,000.
MBMB A turut melengkapkan juara terbuka setiap zon kejohanan yang membuka tirainya sejak Jun lalu selepas Pestans A (Selatan, Pasir Gudang), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) B (Utara, Alor Setar) dan Gabungan Sepak Takraw Teluk Paku (Gastep) B (Timur, Gambang).
MBMB A membariskan Razif Arifin (tekong), Saiful Bakhtiar Sulaiman (pelibas) dan Syafiq Ab. Rahman (pengumpan) selain pemain simpanan, Hafiz Kaus sementara Dinamis dibarisi Azhan Mahmood, Mohd. Ab. Malik Paisan Berahim dan Mohd. Abuhari Mohd. Nor serta Ahmad Zulkarnain Zainal Abidin.
Turut mengiringi mereka ke sana ialah dua regu yang kalah separuh akhir, sejurus sebelum itu - MBMB B dan MPT A yang masing-masing ditewaskan MBMB A 14-16, 15-17 dan Dinamis 14-16, 6-15.
MBMB A jelas memanfaatkan kekuatan mental malah pengalaman khususnya yang dimiliki Syafiq, bekas apit kiri kebangsaan biarpun mereka ditinggalkan 9-13 dalam set pertama.
Set kedua bagaimanapun berpihak kepada anak buah Omar Bayot ini sehingga lawan pula ditinggalkan pada kedudukan 11-4, 12-8 dan cuba dikejar dengan dua mata tambahan lawan sebelum disudahkan dengan 15-11.
Penolong jurulatih MBMB A, Mohd. Fahmi Omar berkata, anak buahnya tidak mudah panik walaupun Dinamis cuma kekurangan dua mata untuk memenangi set pertama kerana sudah biasa menempuh keadaan segenting itu apatah lagi dalam kejohanan sebesar KFC-Utusanini.
"Kawalan gelanggang kami juga berkesan dan keyakinan mereka semakin melonjak apabila memenangi set pertama itu selepas bangkit mengejar dari jauh. Ia dibantu pula servis tekong kami (Razif) yang menjadi," katanya.
Jurulatih Dinamis, Mohd. Hanafi Mat Asin pula berkata, kegagalan menyudahkan set pertama selepas mendahului 13-9 sehingga disekat 15-13 menjadi punca utama kegagalan kami. Ada juga beberapa kesilapan individu yang turut memudahkan lawan menang set kedua.
Keputusan perlawanan akhir kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam-Swasta (IPTA-S)/Bawah 19 Tahun pula menyaksikan UiTM C menjuarainya dan mengaut RM2,000 selepas mengalahkan Pelapis Kelantan A 2-0 (15-8, 15-7).
Bagi Bawah 15 Tahun dengan ganjaran juara RM1,500, SMK Sri Kota A mengalahkan SMK Sri Kota B 2-0 (15-8, 15-8).

Pestans pecah rekod GPMS


Pestans pecah rekod GPMS




Pasukan Pestans (jersi hitam) akan menghantar sebanyak 32 regu yang akan mengambil bahagian pada Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan bagi saingan zon tengah di Seremban, esok.


KUALA LUMPUR – Trend mempertaruhkan lebih banyak regu bagi mencerahkan peluang juara di zon utara ditiru pula oleh Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) yang memperbaharui rekod penyertaan Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 Zon Tengah, Sabtu ini.
Jika Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mempertaruhkan 12 regu sehingga salah satunya berjaya menjuarai kategori Terbuka di Alor Setar, Pestans pula menampilkan kontinjen terbesar yang mengandungi 32 regu meliputi ketiga-tiga kategori kali ini.
Sebanyak 15 regu Pestans dipertaruhkan dalam Terbuka, 10 bagi Institusi Pengajian Tinggi Awam-Swasta (IPTA-S)/Bawah 19 Tahun dan tujuh untuk Bawah 15 Tahun sekali gus bakal menjadi perhatian utama penggemar sepak takraw di Kompleks Sukan Negeri, Paroi, Seremban.
Timbalan Presiden Pestans, Zamry Fareed Moh Norden berkata, mereka menggunakan khidmat semua pemain tempatan yang datang dan menjalani pemilihan dari Nilai hingga Tampin tetapi menggabungkan mereka dalam sesebuah regu tanpa mengikut tempat asal masing-masing.
“Kami menampilkan pasukan terbesar atas status tuan rumah dan minat Presiden Pestans,” katanya mengulas aksi zon tengah Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan melibatkan 172 regu demi memburu ganjaran berjumlah RM10,500 dan empat tempat teratas setiap kategori ke separuh akhir di Shah Alam, bulan depan.
Tambah menarik, menurut Zamry Fareed ialah Pestans bakal diperkuatkan dengan kehadiran bekas apit kiri skuad elit, Syazreen Qamar Salehan dan bekas pemain kebangsaan era 90-an, Khairulnizam Jidin selain mendapat khidmat nasihat dan tunjuk ajar bekas jurulatih skuad Sukan SEA 2001, Mahat Adnan.
Pestans muncul juara Zon Selatan di Pasir Gudang, Johor dengan menewaskan PKNS A 2-0 namun hasrat mereka menggandakan gelaran dan ganjaran kejohanan di Zon Timur, Julai lalu disekat Gastep 1-2 pada perlawanan akhir di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang, Gambang, Kuantan.
Pestans A di Pasir Gudang diperkuatkan oleh bekas tekong juara Sukan SEA Filipina 2005, Normanizam Ahmad sejajar syarat pertandingan Kejohanan KFC-Utusan Kedua yang mengehadkan seorang pemain bertaraf negeri dan kebangsaan dalam sesebuah regu peserta.

Skuad elit bakal dirombak


Skuad elit bakal dirombak



Aksi regu negara ketika menentang Thailand pada perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia 2011 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur Julai lalu.


KUALA LUMPUR - 'Jangka hayat' majoriti pemain dalam skuad elit sepak takraw negara mungkin hanya bertahan sehingga tahun ini, selagi prestasi mereka masih merudum dalam Sukan SEA November ini seperti mana diaibkan Indonesia 2-3 dalam suku akhir Siri Super I di Bangkok, Sabtu lalu.
Tempat mereka mungkin diambil alih sepenuhnya oleh muka baru yang berusia bawah 18 dan 19 tahun.
Mereka akan diletakkan di bawah program jangka panjang yang dikendalikan dua perunding Thailand sekarang, khususnya bagi menghadapi Sukan Asia Incheon 2014 dan seterusnya.
Saranan ini disuarakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong(gambar) setelah mendapati tahap kemampuan pemain skuad elit sekarang di pentas antarabangsa bagaikan sukar dimajukan lagi ekoran kekalahan 'malapetaka' terbaru anak buah Jamaluddin Hassan itu.
"Itu sahajalah pemain yang kita ada malah ada yang sudah bertahun-tahun dalam skuad dan masih tidak meningkat atau boleh diturunkan. Ada yang servis pun masih tidak boleh masuk, bagaimana hendak bermain. Ada yang berlatih bagus tetapi bila tiba kejohanan mental jadi lemah.
"Kita sudah tukar jurulatih dua tiga kali (Haris Abd. Rahman, Iskandar Arshad dan Jamaluddin) selepas Laos (Sukan SEA 2009) dan Guangzhou (Sukan Asia 2010).
"Bagi jangka pendek ini (ke Sukan SEA), kita cuba tengok dulu prestasi mereka (skuad elit) lagi. Untuk jangka panjang ke Incheon dan selepasnya, kita mungkin gunakan khidmat dua perunding Thailand sekarang (Prawet Intar dan Taweet Wongkaen) untuk mengenal pasti bakat baru bawah 18 atau 19 tahun," katanya pada sidang akhbar sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di Bukit Jalil, semalam.
Tegas Zolkples, kekalahan Malaysia kepada Indonesia ini tidak wajar ditujukan semata-mata kepada Prawet yang turut hadir di Bangkok dengan membantu penolong jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun sementara Taweet dan Md. Fikri Md. Nor membimbing skuad wanita.
Malah tidak sampai 48 jam selepas Siri Super, gandingan Faizul Hairy Osman-Fadzli Roslan kecundang 0-3 (11-15, 16-17, 12-15) juga kepada Indonesia dalam acara beregu Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-26 di gelanggang sama.

Regu bekas pemain kebangsaan tersungkur mengejut di Paroi






AKSI menarik apit kanan pasukan Pemuda UMNO Jalan 666 BBB C, Mohd. Azlan Mudin yang melakukan libasan ketika menentang pasukan Bola Rotan pada Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 di Kompleks Sukan Negeri, Paroi, semalam. - UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH


SEREMBAN - Majlis Bandar Raya Melaka Bersejarah (MBMB) A dan B, Gabungan Sepak Takraw Teluk Paku (Gastep) A, UMNO Jalan 6 C, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) C, Dinamis dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) A mencerahkan peluang untuk mewakili empat terbaik Kategori Terbuka Zon Tengah Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011.
Mereka melepasi pusingan keempat yang berlanjutan hingga pukul 10 malam dan mara ke suku akhir demi gelaran juara zon terakhir ini dan ganjaran RM2,500 di Kompleks Sukan Negeri, Paroi, Seremban yang menemukan 171 regu.
Zon Tengah ini turut menampilkan banyak regu yang menggunakan seorang bekas pemain kebangsaan dari era 90-an hingga alaf baru seperti Ahmad Ezzat Zaki, Ku Halim Ku Musa, Azlan Mubin dan Sulaiman Salleh, terpaksa mengangkat kaki lebih awal selepas kecundang kepada lawan masing-masing.
Jaguh sirkit Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), Universiti Teknologi Mara (UiTM) menepati ramalan awal dengan menempah salah satu daripada empat tiket separuh akhir kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam-Swasta (IPTA-S)/Bawah 19 Tahun.
Daripada empat regu yang dipertaruhkan di zon ini, regu 'C' anak buah Zaidi Ismail yang juga bekas penolong jurulatih skuad elit mengetuai kemaraan itu yang aksinya bakal bersambung mulai pagi ini.
UiTM C akan menentang ADTEC Shah Alam sementara Pelapis Kelantan A bakal berentap dengan Port Dickson dalam satu lagi separuh akhir Zon Tengah namun keempat-empatnya sudah memastikan tiket ke separuh akhir peringkat antara zon di Shah Alam, pertengahan bulan depan.
Bagi kategori Bawah 15 Tahun, Sekolah Sukan Negeri Selangor Seksyen 11A Shah Alam yang disebut-sebut sebagai pilihan utama, mara ke separuh akhir Zon Tengah tetapi bakal berentap dengan lawan yang dianggap sepadan mereka, Sekolah Menengah Sri Kota A.

Wednesday 14 September 2011

Filem Hantu Bonceng


KUALA LUMPUR – Filem terbitan Excellent Pictures, Hantu Bonceng melakar sejarah tersendiri apabila sambutan peminat untuk hari pembukaan, mengatasi sambutan filem aksi Hollywood, Transformers 3, dengan jumlah belian tiket keseluruhan mengatasi 95 peratus di beberapa lokasi seperti di Mesra Mall, Kerteh dan Tebrau City, Johor Bahru juga beberapa lokasi lain seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
Hantu Bonceng yang diarahkan oleh Ahmad Idham dan dibintangi oleh Zizan Razak, Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie dan Tai, ditayangkan di 80 pawagam bermula 31 Ogos yang lalu, bersempena dengan sambutan Aidilfitri tahun ini.
Bagi pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, dia sendiri cukup gembira dengan sambutan yang diterima.
“Melalui tinjauan di beberapa lokasi di Lembah Kelang semalam, ada juga penonton yang kecewa kerana tiket untuk Hantu Bonceng sudah habis. Dari makluman pengurus panggung, di beberapa lokasi, tiket- tiket sudah habis di waktu petang, untuk tayangan sebelah malam. Jadi bagi peminat- peminat Hantu Bonceng, saya menasihati semoga membeli tiket lebih awal atau membuat tempahan secara dalam talian,
“Kejayaan ini juga harus dikongsi bersama penonton dan peminat Hantu Bonceng, juga kepada pihak media cetak, elektronik dan media baru yang sentiasa membantu dalam mempromosikan Hantu Bonceng di ruangan surat khabar, radio, televisyen, dalam talian juga di twitter,” tambah Ahmad Idham lagi.
Melihat dari sambutan yang cukup mengalakkan, Idham ditanya apa formula yang digunakan dalam Hantu Bonceng, jawabnya : “Hantu Bonceng merupakan sebuah filem komedi ringan yang sesuai ditonton untuk seisi keluarga. Tidak boleh tidak, ianya sedikit sebanyak mampu mengeratkan perhubungan di kalangan mereka yang menonton. Kombinasi penonton juga menjadi faktor filem ini mendapat sambutan. Selain itu, ada beberapa mesej yang diselitkan untuk difikrkan. Jadi untuk sambutan Aidilfitri, ianya adalah sebuah karya yang mesti ditonton, dari mat rempit hinggalah pakcik makcik yang sudah berkeluarga.”
Filem Hantu Bonceng sebuah karya komedi ringan yang sesuai untuk seisi keluarga berkisar mengenai kehidupan Amran ( lakonan Zizan Razak) yang sering dihantui hidupnya oleh roh Maya, bohsia yang mati akibat kemalangan, setelah di’menangi’ Amran. Dia meminta pertolongan Kunyit ( Tai) untuk membantunya menyelesaikan masalah, apabila tunangnya, Halimaton ( Jue Aziz ) enggan memberi pertolongan. Namun, dalam keadaan itu, muncul pula Ayu ( Juliana Evans ) dalam perhubungan Amran dan Halimaton. Apa kesudahan kisah mereka, dan dapatkah Kunyit membantu menyelesaikan masalah Amran.
Hantu Bonceng mula ditayangkan pada 31 Ogos yang lalu untuk tempoh wajib tayang selama dua minggu di 80 panggung, serentak di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Monday 12 September 2011

Sikap pemurah PSM makan diri


Sikap pemurah PSM makan diri




aksi pelibas Thailand, Anuwat Chaichana ketika menentang Indonesia pada Kejohanan Piala Dunia ISTAF di Kuala Lumpur Julai lalu. Thailand mengatasi Indonesia dan menjuarai Siri Super I Istaf 2011-12 di Fashion Island, Bangkok, semalam.


KUALA LUMPUR - Kemurahan hati Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) membenarkan Indonesia mengadakan lawatan dan persahabatan di negara ini wajar dikaji jika merujuk kekalahan skuad elit dalam suku akhir Siri Super I di Bangkok, kelmarin.
PSM membuka pintu kepada skuad negara jiran itu iaitu ketika Piala Dunia Pertama Julai lalu dan terbaru dalam siri perlawanan ujian enam penjuru di Pulau Pinang dari 17 hingga 21 Ogos lalu yang akhirnya 'memakan diri' anak buah Ahmad Jais Baharun.
Apabila PSM ditegur kerana membenarkan sebuah pasukan sekolah tinggi Korea Selatan ke Pulau Pinang, ada pegawai kanannya yang marah dan membela diri.
Namun, bagaimana dengan peningkatan pasukan senior mereka yang mencemaskan skuad elit sebelum kalah 3-2 pada peringkat Kumpulan B?
Kelmarin, regu negara iaitu tekong Noor Azman Hamid (Syazwan Husin), pelibas Norshahruddin Mad Ghani dan pengumpan Faizul Hairy Osman tewas 2-3 (10-15, 15-12, 16-17, 15-7, 12-15) kepada Indonesia.
Pemangku ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun berkata: "Menentang Indonesia mengajar kita jangan memandang mudah mana-mana lawan walaupun mendahului jauh (seperti set ketiga kelmarin). Selagi belum mencapai mata ke-15 atau penamat (jika terheret dius), mereka kena sentiasa fokus.
"Saya akur dengan kekalahan 'malapetaka' ini dan saya serta Prawet (Intar, perunding dari Thailand) memikul tanggungjawab di atasnya di samping seluruh pemain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Thailand menjuarai kategori lelaki dan wanita setelah menewaskan Indonesia 15-6, 15-6, 15-6 dan Korea Selatan 15-7, 15-10. 15-7 dalam perlawanan akhir di Pusat Beli-belah Fashion Island, Bangkok, semalam.

Indonesia benam skuad elit





KUALA LUMPUR - Skuad elit negara menerima tamparan hebat menjelang Sukan SEA Palembang, November ini, malah kemampuan mereka meraih emas pada temasya itu menimbulkan keraguan apabila dikejutkan Indonesia 2-3 dalam perlawanan suku akhir Siri Super I Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di Bangkok, semalam.
Regu negara, Nor Azman Hamid (Syazwan Husin), Nor Shahruddin Mad Ghani dan Faizul Hairy Osman kalah 10-15, 15-12, 16-17, 15-7, 12-15 dalam perlawanan yang berlanjutan lebih sejam di pusat beli-belah Fashion Island di ibu kota Thailand itu.
Regu negara yang dibimbing Ahmad Jais Baharun gagal memanfaatkan kesempatan mendahului 11-2 dalam set ketiga yang menjadi titik tolak kekalahan teruk mereka kepada Indonesia yang menjadi tuan rumah Sukan Sea nanti.
Nor Azman yang persembahannya merosot digantikan Syazwan pada set kedua tetapi kedua belah apit kanan Malaysia seringkali melakukan kesilapan mudah sehingga memberikan ruang untuk Indonesia bangkit dan mencapai kemenangan.
Ahmad Jais berkata: "Kekalahan ini betul-betul pahit untuk ditelan pasukan. Ia satu malapetaka buat pasukan kita.
"Saya akui Indonesia mempunyai kawalan gelanggang dan pertahanan yang kemas yang banyak menghampakan serangan kita."
Penentuan juara Siri Super kategori lelaki ini bakal ditentukan oleh Indonesia yang menewaskan Korea Selatan 3-1 pada separuh akhir sejurus kemudian.
Menanti Indonesia di final ialah tuan rumah dan juara dunia, Thailand, yang turut mengesahkan kemaraan dengan menumpaskan Jepun 3-0

Siri Super Istaf undang tanda tanya


Siri Super Istaf undang tanda tanya


Skuad sepak takraw lelaki kebangsaan menjalani latihan terakhir menjelang saingan Siri Super 1 dan Piala Raja Thai di Bangkok, bulan ini.


KUALA LUMPUR - Sejak berakhirnya Piala Dunia Istaf Pertama Julai lalu, tiada berita yang dikemaskini dalam laman web sepaktakraw.org apatah lagi dengan menjelangnya Siri Super I di Bangkok mulai esok hingga Ahad ini.
Malah, makluman asas undian kumpulan Siri Super I melibatkan 12 pasukan terbaik lelaki dan lapan terbaik wanita daripada Piala Dunia lalu mahupun jadual perlawanan, belum mampu disediakan.
Ketiadaan makluman jelas Siri Super itu turut membingungkan skuad elit negara seramai 12 pemain yang bakal berlepas secara beransur-ansur ke ibu kota Thailand itu mulai pagi ini bagi turut beraksi dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-26 di gelanggang sama dari 12 hingga 17 September.
"Sehingga kini dengan siapa pasukan kita diundi dan duduk kumpulan mana pun, belum dapat dipastikan. Mungkin (hanya diketahui) dalam mesyuarat pengurus pasukan (petang esok)," kata ketua jurulatih negara, Jamaluddin Hassan pada sesi latihan di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam.
Namun, jika menurut beberapa risalah lama Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Siri Super I kategori lelaki bakal dibahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap satu dianggotai enam negara sementara empat negara masing-masing membentuk dua kumpulan kategori wanita.
Selain juara dunia, Thailand dan naib juara Malaysia, Siri Super I (antara regu) turut disertai Myanmar, Singapura, Korea Selatan, Indonesia, India, Filipina, Brunei, Laos, Amerika Syarikat dan Jepun manakala wanita kita berdepan tuan rumah yang juga juara dunia; Vietnam, China, India, Myanmar, Korea Selatan dan Kemboja.
Ganjaran berjumlah AS$100,000 (RM300,000) ditawarkan bagi Siri Super yang meliputi tiga lagi pusingan di Kuala Terengganu (Disember), Vietnam (wanita, Februari 2012), Iran (lelaki, April 2012) dan pusingan kemuncak (China, Jun 2012).

Monday 5 September 2011

Bintang Faizul kian cerah dipilih ke Bangkok



KUALA LUMPUR - Tuah tampak semakin menyebelahi Muhammad Faizul Hairy Osman apabila apit kiri skuad elit sepak takraw ini diberi kepercayaan untuk turut menggalas cabaran acara beregu dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-26, bulan depan.
Kontang (gelarannya) yang sebelum ini disenaraikan sebagai pengumpan tunggal regu Siri Super I di Bangkok dari 8 hingga 11 September ini, dijangka bergandingan dengan salah seorang pelibas, Mohamad Arif Busu atau Fadzli Roslan.
Faizul mengetepikan pengumpan regu Piala Dunia, Farhan Adam untuk menyertai Syazwan Husin, Noor Azman Hamid (tekong) dan pelibas, Norshahruddin Mad Ghani dan Fadzli ke Siri Super yang disusuli Piala Raja Thai dari 12 hingga 17 September.
Ketua jurulatih negara, Jamaluddin Hassan berkata kepada Utusan Malaysia, Muhammad Faizul Hairy memikat atas pengalamannya membantu Malaysia muncul naib juara acara beregu Piala Raja Thai di Chiang Mai, tahun lalu.
Ketika itu Faizul-Fadzli turut disertai pelibas Kedah, Syamsul Ashraf Roslee mencipta kejutan dengan mengetepikan beregu pilihan kejohanan seperti Myanmar dan Korea Selatan sebelum terpaksa akur kepada tuan rumah.
"Dalam sesi latihan di Bukit Jalil dan Pulau Pinang baru-baru ini, saya sudah mencuba gandingan Faizul-Arif dan Faizul-Fadzli kerana mereka bertiga memiliki pengalaman di peringkat antarabangsa dan tidak sukar untuk menemui keserasian permainan.
"Agak malang kerana kami terpaksa melupakan khidmat pengumpan, Syazreen Qamar Salehan yang menghadapi masalah keluarga dan perlu meneruskan pengajian. Dia juga sudah teruji dalam satu kejohanan dan muncul juara di China, Jun lalu," katanya.
Ditanya sama ada ia bakal membebankan atau mengganggu tumpuan Faizul ke Siri Super (persaingan 12 pasukan terbaik Piala Dunia dalam empat sirkit sehingga tahun depan) kata Jamaluddin, ia bukan satu masalah besar kerana tarikh pertandingan juga berasingan.
"Latihan beregu, bakal memantapkan kawalan gelanggang dan kemahiran serta kecergasan seseorang pemain," katanya yang bagaimanapun meramalkan Malaysia tidak akan menyertai acara dua lawan dua itu dalam Sukan SEA Indonesia, November ini.